Latest News

 


MTUC mahu menteri batal pendaftaran kesatuan dalaman Maybank

Oleh Shazwan Mustafa Kamal, Malaysian Insider

PETALING JAYA, 21 Sept — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia hari ini menggesa kerajaan membatalkan pendaftaran kesatuan sekerja dalaman di Maybank atas alasan sudah pun ada kesatuan kebangsaan bagi mewakili pekerja-pekerja kategori yang sama di bank terbesar itu.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perbankan (NUBE) mempertikaikan pendaftaran dan penubuhan Kesatuan Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu).

Presiden MTUC Khalid Atan berkata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam ada kuasa untuk membatalkan pendaftaran (Mayneu) sebagai kesatuan dalaman.

“Menteri Sumber Manusia boleh membatalkan keputusan pendaftar (Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja), beliau masih boleh bertindak.

“Apabila ada satu kesatuan, tidak ada kesatuan lain boleh mewakili pekerja (di organisasi yang sama),” kata beliau pada sidang media hari ini.

Mayneu diluluskan pendaftarannya Januari lalu.

Selain isu kesatuan dalaman itu NUBE juga terlibat dalam pertikaian perhubungan perusahaan berkaitan bonus prestasi, yang didakwa melibatkan 80 bulan. NUBE mendakwa pekerja peringkat pertengahan dan pengurusan tinggi Maybank menerima bonus lapan bulan selama satu dekad lalu.