Dua kematian berpunca daripada perbuatan membuli keterlaluan bulan lalu, mengejutkan kita. Ramai tersentak dengan insiden tragis dan kejam itu kerana membawa maut. Sebelum itu lagi, klip video menular di media sosial memaparkan masalah yang sama walaupun ia tidak seserius dua kematian membabitkan remaja yang sepatutnya menjadi aset negara.
Negara berhadapan dengan masalah serius. Apa pun, perbuatan membuli dengan sendiri menunjukkan ia sudah sampai tahap krisis sosial dalam masyarakat hari ini. Bagi kebanyakan orang, bersandarkan ciri mereka yang jadi mangsa seolah-olah kelihatan sebagai isu yang hanya babitkan generasi muda.
Sebenarnya tidak. Kita ada asas dan sebab kukuh untuk berkata demikian. Adakah masalah membuli hanya babit remaja dan golongan muda? Jawapannya ‘Tidak.’
Sebelum dua kejadian bulan lalu, kita memfokus kepada isu membuli pada peringkat sekolah. Kementerian Pendidikan turut menyediakan dengan garis panduan membuli pada peringkat pusat pengajian tinggi. Apakah selepas ini membuli di tempat kerja akan menarik fokus negara?
Kita berharap tidak. Pun begitu kita perlu bersiap sedia dengan kemungkinan itu. Selepas enam dekad negara merdeka kita masih berhadapan masalah ini. Gejala membuli berlaku di mana-mana dan setiap hari, termasuk di tempat kerja. Malangnya, ramai tidak sedar membuli juga membabitkan diri pekerja. Pekerja menjadi mangsa masalah buli setiap hari, tidak kira skala.
Kita harus lihat isu ini dari sudut lebih luas membabitkan perspektif perundangan, kehakiman dan eksekutif negara. Separuh daripada penduduk negara adalah pekerja.
Jika kita selidik secara mendalam, pekerja kita berhadapan unsur buli dalam pelbagai bentuk, secara langsung dan tidak, secara tersirat dan tersurat, berpunca daripada tindakan pelbagai individu termasuk pemegang kuasa politik, pegawai awam, pembuat keputusan, pemilik syarikat atau pelaksana dasar – untuk capai kepentingan korporat, perniagaan atau matlamat peribadi, dalam kebanyakan kes mengeksploitasi pekerja dan menafikan hak kesatuan sekerja.
Kita tidak boleh melihat gejala membuli dari segi bentuk fizikal semata-mata, tetapi perlu mencakupi skop lebih luas. Justeru, menjadi tanggungjawab kita meletakkan titik noktah ke atas isu ini. Cukup cukuplah. Usaha ini memerlukan tindakan kolektif dan komprehensif membabitkan semua pihak pada setiap peringkat. Jika kita gagal tangani isu membuli secara kolektif, masalah sosioekonomi ini akan berpanjangan, mengancam pembangunan sosial negara.
Di Amerika Syarikat (AS), kajian menunjukkan 37 peratus atau 54 juta pekerja dibuli di pejabat atau berulang kali dianiaya dengan cara yang menjejaskan kesihatan mereka.
Tiada data pembuli
Di Malaysia, kita tidak mempunyai data empirikal isu pembuli. Tetapi, MTUC tidak putus-putus menerima aduan dan maklumat mengenai buli di tempat kerja. Walaupun kesatuan entiti sah berdaftar di bawah undang-undang negara, ia juga hadapi kesukaran berfungsi dengan bebas dan tanpa takut dalam memperjuangkan hak pekerja.
Ia juga satu bentuk buli dan sekadar contoh, perbuatan membuli juga membabitkan pekerja industri perhutanan Sabah yang mana kesatuan mereka belum diberi pengiktirafan meskipun sudah 25 tahun dituntut. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Infineon Technologies, Zulfadlee Thye yang secara tidak sah dibuang kerja, kini dihalang menjalankan tugas kesatuan sekerja.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Zoo baru-baru ini dipaksa bekerja dalam persekitaran bercanggah dengan nasihat doktor. Di satu pihak, HSBC Bank pula memaksa pekerja mereka menerima Skim Pemisahan Sukarela walaupun mereka tidak mahu.
Kesatuan sekerja juga dinafikan peluang dan hak untuk terbabit dalam perbincangan langkah penggabungan dan pengambilalihan bank, yang terbaru antara RHB-AMMB Holdings Berhad. Membuli juga babit perbuatan intimidasi dan kekasaran di mana beberapa kes berakhir dengan kematian pekerja asing.
Di Malaysia, secara purata sembilan pekerja Nepal meninggal dunia setiap minggu sepanjang tiga tahun lalu. Kebanyakan kes dipercayai ada kaitan masalah jantung. Ada banyak lagi kes buli yang boleh disenaraikan.
Kini membuli menjadi pembunuh senyap. Ia juga penyebab masalah kesihatan lain dan punca kepada isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Orang menjadi sasaran buli berhadapan dengan pelbagai kesan, termasuk kejutan, kemarahan, tekanan dan tidak upaya kerja, hilang keyakinan, kesan fizikal seperti ketidakupayaan untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala atau ketegangan keluarga.
Kita tidak kata semua majikan bertindak begitu. Ada majikan menunjukkan sikap positif terhadap kebajikan pekerja dan menghormati kewujudan kesatuan. Kita harus hargai dan hormati mereka di sini. Pun begitu, kita perlu ambil tindakan tegas untuk menghentikan budaya membuli di tempat kerja dan di mana sahaja di Malaysia.
Usah kompromi gejala buli
Jangan kompromi dengan gejala membuli dalam apa jua bentuk. Diharap kerajaan akan tubuhkan sebuah Majlis Antimembuli Kebangsaan bagi mengkaji isu ini dengan mendalam dan mencari jalan penyelesaian komprehensif. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kempen mencegah membuli di tempat kerja.
Dengan menggerakkan kempen ini di tempat kerja, kami percaya kempen ini boleh menjadi permulaan baik untuk mewujudkan persekitaran bebas membuli dan dibuli.
Kami mahu setiap warga, iaitu ahli politik, pembuat dasar, ketua organisasi dan pekerja menjadi ‘duta’ ke arah melahirkan persekitaran bebas buli dan memerangi masalah sosial ini. Bermakna jika semua terbabit, kita akan ada 15 juta duta. Satu jumlah yang besar lagi berkesan!
Penulis adalah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)
Sumber : https://www.bharian.com.my/…/hentikan-juga-perbuatan-buli-d…