PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abd Fattah Abdullah (tengah) menyampaikan cenderahati kepada para peserta pada Bengkel Inovasi Angkasa bersama Jabatan Beruniform malam tadi. – UTUSAN ONLINE/Gambar BERNAMA
LANGKAWI 10 April – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dijangka mendapat maklum balas daripada 2,000 buah koperasi dalam bulan ini berhubung cadangan pindaan Akta Koperasi 1993.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata, setakat ini lebih 500 buah koperasi telah mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu.
Katanya, Angkasa akan menggunakan persidangan tahunan peringkat negeri bulan ini sebagai platform bagi anggota koperasi membentangkan cadangan mereka berhubung pindaan itu.
“Sebanyak sembilan negeri sudah mengadakan persidangan mereka dan kami menjangkakan selebihnya akan mengadakan persidangan mereka dalam bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Inovasi Angkasa bersama Jabatan Beruniform di sini, malam tadi.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa rang undang-undang pindaan berkenaan dicadang untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, pada Julai ini.
Menurutnya, Angkasa telah mengemukakan sebanyak 13 buah cadangan balas kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) setakat ini untuk mengukuhkan lagi pindaan-pindaan yang dicadangkan itu.
“Kami masih memerlukan cadangan tambahan memandangkan pindaan ini melibatkan perubahan yang besar dan akan menentukan hala tuju perkembangan koperasi di masa hadapan,” katanya. – BERNAMA
source : http://www.utusan.com.my/…/pindaan-akta-angkasa-jangka-makl…