J Solomon berkata, MTUC mendapati RNAA mempunyai implikasi boleh ‘menggugat kepentingan pekerja KTMB’ dan mengetepikan kepentingan ‘perkhidmatan sosial awam’.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) yang dikatakan mungkin menguntungkan sebelah pihak sahaja.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, MTUC mendapati perjanjian itu mempunyai implikasi boleh “menggugat kepentingan pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)” dan mengetepikan kepentingan “perkhidmatan sosial awam”.
“Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia juga sangsi dan teramat hairan apakah matlamat sebenar RNAA cuba mengambil alih aset-aset syarikat KTMB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Datuk Ab Aziz Kaprawi dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan pekerja KTMB yang bakal terlibat dengan RNAA tidak akan kehilangan pekerjaan, sebaliknya mereka akan diserap ke dalam anak syarikat milik KTMB.
Kesatuan Pekerja KTMB bagaimanapun enggan menerima jaminan “mulut” diberikan timbalan menteri pengangkutan itu kerana ia tidak sah tanpa sebarang bukti dokumen, apatah lagi tiada dokumentasi atau perbincangan diadakan sehingga kini.
Presidennya, Abdul Razak Md Hassan pada Selasa lalu berkata, semua faedah dan syarat dalam Perjanjian Bersama yang ditandatangani dengan KTMB sebelum ini akan terbatal, apabila pekerja dipindahkan ke syarikat baru dan tertakluk kepada syarat perkhidmatan baru.
Mengula lanjut, Solomon berkata, pihaknya difahamkan Kesatuan Pekerja KTMB juga kesal kerana sudah berkali-kali cuba mengadakan perbincangan dengan menteri pengangkutan, namun Datuk Seri Liow Tiong Lai langsung tidak membalas surat mereka.
“MTUC mendapati tindakan Kementerian Pengangkutan ini hanya memusnahkan organisasi KTMB dengan memaparkan imej buruk, khususnya mendorong kepada perpecahan perpaduan antara kesatuan sekerja, Kesatuan Pekerja KTMB dan Kementerian Pengangkutan.
“MTUC mendapati ‘alternatif terbaik’ untuk mentadbir KTMB ialah kerajaan kerana pengangkutan rel KTMB diakui kerajaan sebagai ‘perkhidmatan sosial’ untuk rakyat dan negara.”
Katanya, MTUC menyokong pendirian Kesatuan Pekerja KTMB yang membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan RNAA untuk mengurus tadbir KTMB.
RNAA ialah perjanjian antara Perbadanan Aset Kereta Api (RAC), yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan dengan KTMB.
RNAA sejajar klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan pengendali perkhidmatan kereta api yang mana diuruskan KTMB, manakala pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan segala aset kereta api bakal diuruskan RAC.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/31/mtuc-gesa-kerajaan-kaji-perjanjian-kereta-api-berat-sebelah/