Kejadian cubaan bunuh diri oleh seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya Rabu lalu membuka persoalan tekanan di tempat kerja.
PETALING JAYA: Guru sekolah perlu menjalani sesi kaunseling sekurang-kurangnya setahun sekali, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang bimbang tekanan kerja semakin meningkat, ekoran kejadian cubaan bunuh diri oleh seorang guru di Putrajaya baru-baru ini.
“Guru juga perlu menjadikan penyertaan sesi kaunseling sebagai budaya dan tidak hanya digunakan kepada murid-murid sahaja,” kata Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak kepada FMT.
“Saya juga mencadangkan supaya unit kaunseling khas untuk guru-guru diwujudkan di setiap sekolah dan memberi ruang kepada guru untuk meluahkan pendapat dan masalah yang dihadapi.”
Pada pagi Rabu lepas, polis dan bomba bergegas ke sebuah sekolah di Putrajaya selepas menerima laporan seorang guru cuba membunuh diri.
Menurut Ketua Polis Putrajaya, Rosly Hassan, rakan sekerja guru lelaki berusia 30 tahun itu cuba menghalangnya terjun dari balkoni di tingkat 4 bangunan, di mana letaknya kelas beliau mengajar.
Kejadian bunuh diri dapat dielakkan, dan guru terbabit dirawat kerana kemurungan.
Kamarozaman bagaimanapun berkata insiden seperti yang berlaku di Putrajaya itu tidak semestinya berpunca daripada tekanan kerja.
“Kes seperti ini merupakan kes terpencil… ia juga mungkin disebabkan tekanan keluarga dan masalah lain yang dibawa ke sekolah,” katanya.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/…/guru-cuba-bunuh-diri-di…/