Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan jika pemain industri dibenarkan mengenakan tambang lebih “fleksibel” terhadap perkhidmatan ditawarkan mereka.
Hanya dengan cara sedemikian dapat membantu pengusaha menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pemandu seperti dicadangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), katanya di sini.
“Adalah mustahil melaksanakan cadangan itu melihat kepada beban kenaikan kos perkhidmatan ditanggung pengusaha ketika ini.
“Sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, ia perlu diselaraskan dengan semakan semula harga tiket bas ekspres yang kali terakhir dilakukan hampir 10 tahun lalu,” kata Ashraf.
Semalam, Pengerusi SPAD Tan Syed Hamid Albar mencadangkan pengusaha memberi gaji asas lebih tinggi kepada pemandu serta menyemak semula mekanisme pemberian komisen mengikut jumlah trip.
Katanya langkah itu bagi mengelakkan pemandu terlalu mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat faktor keletihan dan pemanduan laju.
Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Che Ibrahim Che Ismail berkata semua syarikat bas ekspres di negara ini tidak lagi mengamalkan pemberian komisen mengikut trip.
Katanya kaedah itu hanya digunakan pengusaha”bas pau”, iaitu mereka yang menjalankan perkhidmatan bas ekspres tetapi menggunakan lesen serta kenderaan orang lain.
“Amalan memberi komisen sudah tidak wujud sebaliknya pemandu kini menikmati pelbagai imbuhan lain seperti elaun kebersihan, elaun perjalanan, bonus serta mempunyai caruman bulanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Majikan juga menjaga kebajikan pemandu bas dengan baik termasuk memastikan mereka mendapat perlindungan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya.
Pengurus Bas Mahligai Expres Wan Safri Wan Ali berpendapat industri itu berdepan masalah kekurangan pemandu antara 500 dan 1,000 orang.
“Jika ramai pemandu, pengusaha boleh menapis untuk mendapatkan pemandu berkualiti,” katanya.
“Dianggarkan 4,000 bas dan 6,000 pemandu beroperasi di seluruh negara. Bagaimanapun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa pasaran.
“Gaji tidak setimpal dan lesen pemandu yang mahal antara faktor ramai tidak berminat menjadi pemandu bas,” kata Wan Safri.
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/…/selaras-tambang-jika-na…/