“Adakah anda warga pekerja bersetuju? MEF mempersoalkan pandangan Perbadanan Produktiviti Malaysia sebelum ini yang menganggap cuti yang banyak di Malaysia bukan masalah.” sila beri komen anda ….
SHAH ALAM: Cuti umum yang banyak tidak menjejaskan produktiviti pekerja jika majikan bijak mengurus dan merancang gerak kerja syarikat, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ketua pengarahnya, Datuk Mohd Razali Hussain berkata cuti amat penting kepada pekerja kerana membolehkan mereka berkerja secara sejahtera dengan mempunyai ruang meluangkan masa bersama keluarga.
“Di Malaysia cuti umum dikatakan lebih tinggi daripada negara lain. Tetapi sebenarnya, syarikat boleh memilih cuti umum. Hanya ada 12 (cuti umum) yang perlu diambil.
“Sekiranya sesebuah organisasi mempunyai kerja terancang dan ada program peningkatan produktiviti, cuti awam tidak akan menjejaskan (produktiviti pekerja),” katanya kepada FMT selepas menghadiri Program Hari Produktiviti di INDKOM Engineering Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Razali berkata perkara asas paling penting untuk meningkatkan produktiviti adalah kerjasama yang baik antara majikan dan pekerja mereka.
“Majikan perlu membuat perancangan supaya tidak berlaku pembaziran dan kelebihan ini tidak menghalang (memberikan cuti umum).
“Syaratnya, syarikat mesti produktif. Oleh itu, pekerja mesti merancang secara berpasukan,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata kerajaan masih belum boleh melaksanakan pengurangan waktu bekerja kepada 6 jam sehari berikutan produktiviti negara masih belum seiring produktiviti bekerja.
Katanya, sekiranya negara mahu mencontohi negara luar yang memberikan waktu bekerja 6 jam sehari, produktiviti perlu ditingkatkkan 4 kali ganda.
“Kaedah bekerja mesti berubah dan pelaksanaan produktiviti secara bijak perlu cekap. Jika pekerja turut terlibat dalam membuat keputusan penambahbaikkan, barulah ia boleh dilaksanaka,” katanya.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam sebelum ini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengurangan waktu bekerja kerana waktu kerja panjang memberi kesan buruk kepada produktiviti pekerja.
Beliau turut mengambil contoh Sweden mengamalkan sistem bekerja 6 jam sehari menunjukkan hasil memberangsangkan kepada pekerja di negara berkenaan.
Katanya, beberapa negara jiran di rantau ini juga sudah mula menurunkan bilangan jam bekerja kepada 40 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu diperuntukkan undang-undang di Malaysia.