PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan menyerahkan kertas cadangan jaminan keselamatan pekerjaan dalam sektor perbankan kepada Kementerian Kewangan, awal bulan depan, dalam usaha membela nasib golongan itu susulan pelaksanaan perbankan Internet.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kertas cadangan itu juga akan diserahkan kepada Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Bank-bank Perdagangan Malaysia (MCBA) bagi mengelakkan lebih ramai pekerja sektor itu diberhentikan.
“Kementerian Kewangan harus masuk campur. Mereka (Kementerian Kewangan) tidak boleh kata ini soal berniaga dan sebagainya. Ini alasan tidak munasabah. Kementerian Kewangan harus ambil tanggungjawab kerana itu tanggungjawab mereka.
“Bukan sahaja menjaga kepentingan perbankan, tetapi mereka juga harus menjaga kepentingan pekerja dalam industri perbankan,” katanya kepada FMT.
Solomon berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak cawangan bank ditutup tahun depan akibat pelaksanaan perbankan Internet, jika bank di negara ini tidak dinasihati.
Pada 12 Oktober lalu, ABM dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (ABIM) dalam satu kenyataan bersama menyatakan penutupan cawangan bank adalah usaha berterusan bagi meningkatkan keberkesanan operasi institusi kewangan.
Mereka berkata, kemajuan dan perkembangan teknologi serta pembayaran elektronik memudahkan pelanggan melakukan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank fizikal.
NUBE bagaimanapun bimbang pelaksanaan perbankan Internet di negara ini akan “membunuh” pekerja bank.
Pada 15 November lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dilaporkan berkata, sebanyak 58 cawangan bank perdagangan dan 5 bank berkonsepkan Islam ditutup tahun ini berbanding 32 bank perdagangan serta 11 bank berkonsepkan Islam, tahun lalu.
Katanya, sejak 6 bulan lalu, seramai 1,425 pekerja bank diberhentikan dengan kebanyakannya melalui ‘skim pemisahan sukarela’ kesan daripada penstrukturan semula institusi perbankan dan bukan semata-mata disebabkan penutupan cawangan.
Sehingga suku ketiga 2016, terdapat 137,000 pekerja bank di seluruh negara.