PETALING JAYA: Syarikat sistem pembayaran global, Visa, belum menerima laporan kecurian data yang mengeksploitasi teknologi PayWave.
Visa dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan mencuri maklumat kad kredit tanpa sentuhan secara realiti sukar untuk dilakukan, berbanding dalam demonstrasi yang teratur.
Ini kerana kad PayWave dan alat pembaca kad perlu berada dalam jarak yang rapat untuk memulakan transaksi.
Sekalipun berjaya dilakukan, nombor dan tarikh luput kad masih belum cukup untuk membolehkan penipuan, kata Visa.
“Kad Visa dengan keupayaan PayWave memuatkan cip yang menggunakan kriptografi canggih untuk menghasilkan kod unik bagi setiap transaksi yang menggunakan kad.”
Kod itu digunakan untuk mengesahkan setiap transaksi.
“Manakala bagi transaksi yang tidak menggunakan kad, seperti e-dagang, Visa menawarkan keselamatan tertingkat untuk saluran e-dagang seperti protokol pengesahan pemegang kad, Verified by Visa.”
Menurut Visa, ciri-ciri itu melengkapkan bentuk keselamatan lain seperti pengesahan kod keselamatan 3 digit, CVV2.
“Bagi meringankan kesan dan melindungi transaksi Visa daripada penipuan, semua transaksi yang diproses oleh rangkaian pemprosesan sejagat, VisaNet, dianalisis secara masa nyata supaya potensi penipuan boleh dikesan.”
Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mempersoalkan sama ada pengguna kad ATM dan kad kredit yang baru di Malaysia benar-benar selamat.
Penolong Setiausaha Agung NUBE A Karuna khuatir kad PayWave akan membolehkan pencuri menggunakan alat khas yang dapat memantulkan maklumat kad secara magnetik.