“Kajian yang dijalankan ke atas psikologi pengganas mendapati majoriti mereka tinggal jauh dari kampung halaman dan keluar dari tempat yang mereka sudah biasa,” kata penyelidik bebas, Ananthi Al Ramiah pada sebuah forum di Universiti of Nottingham, semalam.
Beliau berkata, pengganas selalunya adalah orang yang merasakan dirinya ditindas dan percaya mereka tidak mempunyai saluran untuk meluahkan perasaan itu.
“Ada sejumlah besar pekerja asing di Malaysia yang mempunyai pekerjaan berbahaya dan tidak menerima penjagaan kesihatan. Ini adalah orang yang paling mungkin akan direkrut kumpulan pengganas.”
Menurut Kementerian Sumber Manusia, Malaysia mempunyai kira-kira 2 juta pekerja asing berdaftar. Ada pihak percaya jumlah pendatang asing tanpa izin yang tinggal di negara ini mungkin mencecah 4 juta orang.
Ananthi berkongsi teori keganasan yang dinyatakan profesor psikologi dari Universiti Georgetown, Fathali M Moghaddam dalam kertas kajian beliau bertajuk “Tangga ke Keganasan” pada 2005.
Menurut teori itu, seseorang menjadi pengganas melalui beberapa langkah, bermula daripada persepsi ketidakadilan dan berakhir dengan cara mengatasi penyekatan untuk membahayakan orang lain.
Ananthi berkata, pihak berkuasa selalunya memfokuskan mereka yang sudah berada di peringkat terakhir tetapi sesetengah pakar mencadangkan perhatian ditumpukan kepada mereka yang masih berada di peringkat pertama.
Beliau bagaimanapun mencadangkan sokongan terhadap demokrasi konteks dan membenarkan orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, menggalakkan dialog antara budaya serta mendidik mentaliti bagi mengatasi “kita berbanding mereka”.
“Orang ramai perlu selesa dengan pandangan bertentangan. Malangnya, sistem pendidikan di negara ini tidak mengajar perkara itu. Tetapi, di situlah kita boleh bermula.”
Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, agama sering digunakan untuk mewajarkan keganasan kerana agama “memberikan harapan”.
“Penindasan Yahudi oleh orang Eropah dicipta Zionisme. Begitu juga umat Islam menjadi pengganas kerana mereka percaya diri ditindas.
“Mengapa mereka mengambil jalan keluar melalui keganasan? Kerana harapan. Itulah yang IS janjikan. Mereka mendakwa tidak ada pemimpin Islam bertindak memperjuangkan nasib umat Islam ditindas, tetapi mereka boleh membawa harapan pembebasan,” katanya.
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/…/ahli-psikologi-pekerja-…/