PETALING JAYA: Majikan berbangsa Cina di negara ini dijangka mengekalkan atau mengurangkan kadar bonus yang akan diberikan kepada pekerja pada Tahun Baru Cina bulan depan, kata presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia.
Tan Sri Pheng Yin Huah yang dipetik China Press berkata, kenaikan gaji pada 2017 dijangka antara 5 hingga 10% disebabkan pasaran kurang memberangsangkan.
Beliau berkata, prestasi atau keuntungan kebanyakan industri berkurangan menyebabkan bonus tahun depan juga berkurangan, paling optimis ialah ia akan kekal di tahap sama seperti tahun ini.
Katanya, tahun ini, tekanan yang dihadapi sektor pembuatan paling besar, selain pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ia juga berdepan tekanan daripada jualan besar-besaran produk antarabangsa.
Sektor hartanah pula berdepan langkah Bank Negara Malaysia memperketatkan prosedur dan syarat pinjaman bagi mengekang spekulasi hartanah, menyebabkan rakyat sukar mendapat pinjaman perumahan dan secara tidak langsung menjejaskan sektor itu.
Hanya prestasi industri utama seperti kelapa sawit stabil.
Pheng percaya keadaan ekonomi akan bertambah baik tahun depan kerana lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China baru-baru ini mendapat hasil baik, di mana lebih 30 memorandum persefahaman bernilai RM144 bilion yang ditandatangani Malaysia dan China akan mula dilaksanakan tahun depan.
Ia termasuk Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur bernilai RM55 bilion, bandar budaya Melaka dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Ahli Jawatankuasa Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Leong Kai Hin berkata, senario paling optimis ialah kadar bonus kekal seperti tahun ini dan kenaikan gaji purata 5% ke atas.
Beliau berkata, industri yang memerlukan pengimportan bahan mentah akan berdepan tekanan disebabkan penyusutan nilai ringgit, namun kebanyakan sektor masih mampu mengekalkan keuntungan dan pertumbuhan serta majikan dipercayai akan tetap memberi bonus kepada pekerja.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dalam satu kajian mendapati kira-kira 62% responden yang terdiri daripada majikan memberi jaminan akan memberi bonus kepada pekerja pada 2017 dan kenaikan gaji antara 5.5 hingga 6%.
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/…/ngo-cina-jangka-bonus-p…/