PETALING JAYA: Walaupun negara sedang menerima kesan kelembapan ekonomi global, golongan profesional masih meletakkan harapan tinggi untuk mendapat bonus dan kenaikan gaji pada hujung tahun ini.
Dalam laporan antarabangsa terbaru dikeluarkan Randstad Work menunjukkan 77% golongan pekerja di Malaysia menjangkakan bonus, sementara 74% lagi mengharapkan kenaikan gaji.
Daripada segi gender, wanita lebih yakin menerima bonus iaitu 78% berbanding lelaki (77%).
Responden lelaki pula lebih yakin akan menerima kenaikan gaji iaitu 76% berbanding wanita sebanyak 71%.
Berbeza dengan Singapura, golongan profesional di Malaysia lebih yakin akan menerima bonus iaitu 68% berbanding kenaikan gaji hujung tahun ini iaitu 58%.
Manakala di Hong Kong pula, golongan profesionalnya memberi tumpuan lebih besar kepada kenaikan gaji iaitu 67% sementara 60% lagi berharap mendapat bonus.
Pengarah Urusan Randstad Singapura, Hong Kong dan Malaysia, Michael Smith berkata keyakinan pekerja di 3 negara itu daripada segi penerimaan gaji menarik untuk diperhatikan dalam persekitaran ekonomi yang kini lebih lembap.
“Walaupun masih belum jelas bagaimana sesebuah organisasi akan bermurah hati memberi ganjaran kepada pekerja, namun penting bagi syarikat mempertimbangkannya agar pekerja gembira,” katanya.
Laporan itu turut membabitkan 34 negara di seluruh dunia iaitu di Asia Pasifik, Eropah dan benua Amerika.
Kajian itu dilakukan secara dalam talian terhadap golongan pekerja berumur antara 18 hingga 65 tahun yang bekerja sekurang-kurangnya 24 jam seminggu.
Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/…/77-pekerja-profesional-…/