NUBE berkata golongan cacat penglihatan juga berhak mendapatkan privasi dalam hal ehwal kewangan mereka di bank terutama ketika menandatangani dokumen.
PETALING JAYA : Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meminta bank tempatan akan mengkaji semula polisi membantu golongan cacat penglihatan menandatangani dokumen di institusi kewangan.
Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata dakwaan Majlis Kebangsaan untuk Orang Buta (NCBM) berhubung golongan cacat penglihatan diminta membawa pembantu yang celik untuk berurusan di bank tidak sepatutnya berlaku.
“Ia tidak sepatutnya berlaku begitu, tapi saya tak tahu bagaimana mereka boleh terlepas pandang perkara sebegini.
“Saya harap bank akan kaji semula dan hentikan proses seperti itu,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif NCBM Moses Choo berhubung bank tempatan mendiskriminasikan golongan cacat penglihatan dan sepatutnya mengguna pakai langkah mesra OKU diambil bank luar negara.
Moses berkata amat mengecewakan bila bank tempatan bertegas meminta orang buta membawa pembantu yang celik untuk menandatangani dokumen.
Katanya, tindakan itu tidak adil kerana orang buta pun sepatutnya diberikan hak privasi terhadap kewangan mereka.
Solomon berkata pihaknya juga akan menulis surat kepada bank berhubung perkara yang dibangkitkan NCBM itu.