MTUC mengambil maklum kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Ghani yang akhirnya mengakui hakikat bahawa pergantungan terhadap pekerja-pekerja asing telah menjejaskan peluang rakyat tempatan daripada dibayar gaji minimum RM2,700.
Kami juga terkejut kerana kerajaan mengambil masa lebih 20 tahun untuk sedar iaitu pada April 2018, tentang hakikat bahawa pekerja-pekerja Malaysia telah mengalami kerugian dan dinafikan daripada menikmati gaji yang lebih baik hanya kerana terlalu bergantung terhadap pekerja asing.
Apa yang sudah berlaku ke atas kesemua tuntutan yang dibuat Kesatuan, yang menyuarakan tentang nasib upah kita akibat kemasukan pekerja asing?
Justeru, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membendung kemasukan pekerja asing sejak 1980-an?
Tambahan kepada kesengsaraan kepada pekerja-pekerja Malaysia, tiga tahun yang lalu kerajaan membuat pengumuman untuk membawa 1.5 juta pekerja asing lagi.
Sekali lagi, apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan apabila Kesatuan menyuarakan eksploitasi pekerja asing. Ia tidak mendapat perhatian kementerian-kementerian yang berkaitan.
Kerajaan tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi diri mereka sendiri atas masalah yang wujud akibat pekerja asing yang berlebihan. Kemasukan pekerja asing telah menyebabkan kemelesetan yang melampau kepada rakyat Malaysia yang berada dalam kategori B40 dan M40 yang haknya untuk peluang pekerjaan dan kehidupan yang layak dirompak oleh sejak 20 tahun yang lalu.
Walaupun dikatakan menjadi punca utama adalah kemasukan pekerja asing, kita terkejut Kerajaan kini beralih dan meminta semua sektor perniagaan supaya menggunakan pendekatan automasi dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan gaji minimum dibayar bagi rakyat Malaysia untuk kehidupan yang lebih baik. Adakah ini satu kes terlalu kecil, sudah terlewat atau salah arah fokus kita?
MTUC mengalu-alukan teknologi tetapi malangnya penekanan teknologi tidak diarahkan kepada sektor yang berorientasikan tenaga kerja di mana terdapat pergantungan yang tinggi untuk pekerja asing, tetapi lebih kepada sektor perkhidmatan di mana sebahagian besar pekerja adalah rakyat Malaysia.
Kerajaan dan majikan sektor perkhidmatan secara agresif menggunakan teknologi sehingga membuang rakyat Malaysia yang telah lama berkhidmat dan menggantikan graduan Malaysia dengan graduan asing tanpa memberi peluang kepada pekerja-pekerja Malaysia untuk berjaya.
Memandangkan keadaan semakin buruk, sektor perkhidmatan juga menyingkirkan pekerja Malaysia dan memilih untuk mengutamakan AI semata-mata untuk bersaing dengan dunia barat, atas nama mahu kekal berdaya saing.
Sektor perkhidmatan berada dalam kedudukan untuk menunjukkan contoh yang baik dengan memperkenalkan RM2,700 seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia kerana kebanyakan penyedia perkhidmatan mencatat keuntungan berbilion ringgit, bukan berjuta-juta. Sayangnya kekayaan tidak dikongsi secara saksama.
Sekiranya Menteri Kewangan Kedua ingin melakukan keadilan kepada rakyat Malaysia, beliau mestilah terlebih dahulu memastikan Perbankan, GLC dan GOC di bawah kementeriannya menunjukkan contoh yang baik dengan menyediakan gaji minima RM2,700 memandangkan automasi dan teknologi telah menjadi sebahagian daripada pengurusan bank sejak 1980-an.
Maka, keperluan untuk mengurangkan pekerja asing di sektor bank tidak timbul untuk menikmati gaji minimum seperti yang disyorkan oleh BNM kerana tiada pekerja asing disektor perbankan. Semakin cepat pihak berkuasa bangkit dan bertindak menangani isu sebenar dan bukannya hanya 'cakap-cakap', semakin baik negara akan merasai kesannya.