KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan HSBC hari ini menandatangani perjanjian bersama (CA) melibatkan kakitangan perkhidmatan pelanggan (CSB) bank itu selepas rundingan lebih tiga tahun.
Kira-kira 200 kakitangan akan meraih manfaat daripada CA itu termasuk kenaikan gaji sepuluh peratus dan elaun sara hidup bulanan RM600 serta cuti bergaji menunaikan ibadah haji.
NUBE ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid di atas segala nasihat beliau ke arah menghasilkan CA yang dimeterai hari ini.
Kehadian beliau pada majlis menandatangani perjanjian bersama ini amat dialu-alukan.
Antara yang melewatkan keberhasilan rundingan CA ini adalah keengganan HSBC memberi sebarang kenaikan gaji tahunan kepada CSB yang mencapai tahap maksimum skala gaji mereka.
Kebuntuan itu akhirnya diatasi apabila HSBC bersetuju memberi dua kenaikan gaji kepada kakitangan terbabit.
CA ini berkuat kuasa daripada 1-7- 2016 hingga 30-6-2019, bermakna segala pelarasan gaji dan manfaat lain di undurkan kepada tarikh yang dipersetujui bersama oleh NUBE dan HSBC.
Manfaat di bawah CA ini termasuk :
1. Gaji bulanan minima CSB menokok 12 peratus kepada RM2,754 manakala gaji maksimum dinaikkan 16 peratus kepada RM5,842.00.
2. Kenaikan gaji 10 peratus untuk semua CSB dengan tunggakan gaji dikira mulai 1-7-2016.
3. Elaun Kos Sara Hidup (COLA) RM600 sebulan dengan tunggakan dikira mulai 1-1- 2019
4. Mulai 1 April tahun ini, RM100,000 daripada pinjaman bank untuk staf HSBC dikecualikan bayaran faedah.
5. CSB beragama Islam yang berkhidmat lebih 10 tahun diberikan cuti bergaji 30 hari untuk menunaikan ibadah haji dengan syarat mereka belum mengambil cuti seumpama itu menerusi mana-mana skim lain HSBC.
6. Cuti untuk suami kepada isteri bersalin ditambah kepada lima hari daripada tiga hari.
CA hari ini ditandatangani oleh Presiden NUBE Tan Eng Hong dan Setiausaha Agungnya J. Solomon manakala HSBC diwakili oleh Ketua Sumber Manusianya Norlida Azmi dan Alan Sunil Netto selaku Ketua Perhubungan Perusahaan HSBC,
Selain Dr Muhammed Abdul Khalid, turut hadir pada majlis hari ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Stuart Milne dan Mohamed Razik Shah selaku Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Bank, Insuran dan Kewangan Rantau Asia.
J. Solomon
Setiausaha Agung NUBE