PORT DICKSON : Sekumpulan pekerja berkumpul di sini sejak awal pagi tadi dengan rasa penuh teruja untuk menyertai Bengkel Yoga Ketiga, anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE).
Bengkel kali ini bertema Yoga Untuk Kesihatan dan Pemulihan dan diadakan di markas latihan NUBE di destinasi percutian ini.
Bengkel selama seminggu ini dianjurkan bersama oleh Santhi Yoga International Kerala India untuk menyebarkan mesejnya mengenai kebahagian sejagat di seluruh dunia.
Sesi hari ini bermula dengan ‘kelas’ yang dikelolakan oleh Sdra Justin Thomas, seorang kaunselor antarabangsa yang berpengalaman mengenai kekuatan minda (mind power).
Murid ‘kelas’ Justin yang berupa ahli NUBE begitu seronok mengikut panduan dan bimbingan beliau mengenai kekuatan minda yang menjadi antara asas utama Yoga yang bermaksud perpaduan.
Manfaat yoga, kepada kesihatan badan dan minda sudah terbukti beribu-ribu tahun dan kini menjadi amalan luas di Barat dan Timur.
Sdra Justin adalah antara ‘guru’ paling berpengalaman yang dibawa oleh NUBE untuk mengendalikan kelas yoga.
Beliau berpengalaman selama 15 tahun menganjurkan pelbagai latihan berhubung dengan kemahiran insaniah dan program neuro-lingusitik di serata dunia.
Latihan oleh beliau di Port Dickson selama dua hari bertujuan membina jati diri dan memperkasa kekuatan dalaman 18 peserta yang merangkumi ahli NUBE daripada Semenanjung Malaysia.
NUBE berharap bengkel kali ini akan membantu menganjakkan minda dan keupayaan ahli NUBE untuk memberi sumbangan lebih berkesan kepada pembangunan negara dan masyarakat setempat.