PORT DICKSON : Lapan belas ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menjadi ‘graduan’ terbaru bengkel kebangsaan yoga anjuran kesatuan itu baru-baru ini.
Bengkel kali ketiga itu yang bertemakan Yoga Untuk Kesihatan dan Pemulihan dikendalikan oleh sekumpulan pelatih yang diterbangkang daripada Kerala, India mulai 22 Julai.
NUBE menganjurkan bengkel berkenaan dengan kerjasama Santhi Yoga International Kerala India yang terkenal dengan penyebaran mesej mengenai yoga dan kebahagian sejagat di seluruh dunia.
Selain diberikan pendedahan asas mengenai kebaikan senaman dan cara hidup berasaskan yoga, peserta juga diberi bimbingan mengenai aspek kekuatan minda (mind power) oleh Sdra Justin Thomas.
Beliau adalah kaunselor antarabangsa yang berpengalaman luas mengenai kekuatan minda (mind power).
Manfaat yoga, kepada kesihatan badan dan minda sudah terbukti beribu-ribu tahun dan kini menjadi amalan luas di Barat dan Timur.
Peserta yang mengikut kelas Justin dan pasukannya memberitahu NUBE mereka memperolehi banyak manfaat dan petua untuk memperbaiki cara hidup masing-masing.
Bengkel itu mendedahkan mereka kepada ‘rahsia” menggunakan kekuatan minda untuk mencapai keseimbangan dalam hidup demi mencapai kesihatan mental dan fizikal terbaik.
Pelbagai sesi yang di hadiri juga membolehkan peserta berkenaan mempelajari teknik memperbaiki kelenturan badan, penafasan serta membina kekuatan fizikal.
Bengkel Kebangsaan Yoga anjuran NUBE seterusnya akan diadakan bulan depan.