Pada 26 November 2019, kira-kira pukul 1.20 petang, seorang petugas perkeranian diarah pengurus HSBC bernama Alice Goh untuk menyerahkan maklumat bersabit sistem operasi dan kod pengenalan (ID) petugas itu untuk memasuki sistem berkenaan.
Petugas berkenaan memberi Goh bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk mengesahkan sama ada maklumat itu boleh diberikan begitu sahaja kerana ia maklumat sulit. Petugas memberitahu Goh bahawa beliau akan mendapatkan penjelasan dan memberi jawab balas kepada permintaan itu menerusi e-mail.
Petugas berkenaan terkejut apabila Goh bertindak merampas tetikus (mouse) komputernya untuk mendapatkan akses kepada sistem berkenaan, menggunakan ID beliau (petugas).
Dalam reaksi spontan, petugas berkenaan menutup komputernya bagi mempertahankan maklumat sulit berkenaan kerana beranggapan tindakan Goh itu jelas melampau dan salah.
Goh kemudian bertindak balas menengking petugas dan mengugut beliau dengan berkata : “ Saya pengurus anda dan jika awak berkeras tidak memberi maklumat bersabit pekerjaan, saya akan menuntut Bahagian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan terhadap kamu.” Beliau kemudian beredar daripada tempat kerja petugas.
NUBE ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan oleh sesiapa untuk mendapatkan akses kepada sistem komputer menggunakan ID petugas lain dilarang sama sekali dalam industri perbankan.
Tindakan sedemikian melanggar prosedur Teknoloji Maklumat dan dasar-dasar bank di mana juga.
Pengurus Alice Goh jelas menyeleweng dan menyalahguna kuasa apabila cuba mendapatkan maklumat sulit petugas berkenaan.
Beliau bukan sahaja cuba mendapatkan akses kepada sistem komputer dengan menggunakan ID petugas lain tetapi juga berusaha memperolehi maklumat pelanggan bank, menerusi cara itu.
Kes ini tidak harus dilihat secara berasingan kerana ia berkait rapat dengan pelaksanaan outsourcing atau penyumberluaran pekerjaan yang kini dilakukan oleh HSBC.
Cubaan mendapatkan ID staf untuk memasuki sistem dalam kes ini ada hubungan dengan penyaluran maklumat dan data pelanggan serta petugas HSBC Malaysia kepada pihak ketiga di India, Sri Lanka dan vendor di Cyberjaya yang terbabit dalam outsourcing itu.
Tindakan pengurusan HSBC merestui dan menyokong peri laku pengurus-pengurus seperti Alice Goh untuk cuba mendapatkan ID komputer staf secara tidak sah adalah amat dikesali dan bertentangan dengan dasar dan polisi bank itu sendiri.
Pihak berkenaan harus meneliti risiko kepentingan awam apabila maklumat sulit pelanggan dan petugas tempatan HSBC Malaysia bocor dan terdedah apabila disalurkan kepada pekerja asing di India, Sri Lanka dan Cyberjaya, hasil program outsourcing HSBC.
NUBE mendesak HSBC Malaysia untuk menjelaskan jenis maklumat yang disalurkan oleh bank itu kepada pekerja asing di India, Sri Lanka dan vendor di Cyberjaya yang akan mengambilalih tugasan lebih 200 pekerja tempatan menerusi outsourcing ini.
Pada masa sama, NUBE menggesa HSBC menghentikan program outsourcing berkenaan sehingga ia memberi pencerahan mengenai pelaksanaannya dan juga tahap maklumat pelanggan dan staf HSBC Malaysia yang dikongsi dengan pihak asing di India dan Sri Lanka serta vendor di Cyberjaya.