Kepercayaan adalah pokok dalam apa juga kehidupan yang berpaksi kepada berkhidmat.
Tanpa kepercayaan, tiada apa akan dicapai. Sebaliknya, menerusi kepercayaan, cabaran walau mustahil mana pun, boleh diatasi.
Kami adalah pekerja bank merangkumi juruwang dan staf khidmat pelanggan yang bertugas di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.
Sebagai sebahagian daripada warga pekerja perkhidmatan penting (essential services), kami di barisan depan hadir di tempat kerja untuk melayani keperluan perbankan anda meskipun penularan covid-19 di seluruh negara terus rancak.
Ada kalangan majikan kami mengambil langkah-langkah memastikan keselamatan dan kebersihan premis bank demi kebaikan kita semua - pelanggan dan petugas.
Kami sebagai pekerja turut mengambil tindakan tambahan untuk kebersihan dan keselamatan kita bersama.
Seperti anda, kami juga mempunyai keluarga tersayang di rumah; setiap hari kami memikul cabaran menjaga keselamatan dan kebersihan dalam setiap pergerakan demi menjamin keselamatan ahli keluarga di rumah.
Setiap kali keluar rumah dan mengharungi perjalanan pulang dari kerja, kami tiada pilihan kecuali berwaspada terhadap risiko Covid19. Di tempat kerja, yakni di bank, kami melakukan SETIAP TINDAKAN yang perlu demi keselamatan anda dan keluarga kami di rumah.
KAMI MERAYU KEPADA ANDA UNTUK HANYA ke bank jika benar-benar perlu. Kami memerlukan anda #dudukdirumah dan #jagakeselamatan demi diri anda, keluarga anda serta kebaikan kami dan keluarga kami.
Jika anda perlu ke bank sekali pun, hargailah kepercayaan kami bahawa anda setia menjaga kesihatan anda dan mengambil semua langkah pembersihan jika terpaksa menjalankan urusan di bank.
ANDA WAJIB MEMAKAI TOPENG MUKA, MENCUCI TANGAN DENGAN CECAIR PEMBASMI KUMAN sebelum menyentuh sebarang baucer bank atau melakukan apa jua transaksi di kaunter.
Terima Kasih di atas sokongan dan kerjasama berterusan anda.
#dudukdirumah
#jagakeselamatan