KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa bank-bank untuk segera melaksanakan semula moratorium menyeluruh ke atas pinjaman untuk ahli-ahli kesatuan itu dan golongan lain yang berpendapatan rendah.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata ini kerana moratorium bersasar yang diperkenalkan mulai bulan ini tidak dapat menangani kesulitan kewangan mereka dalam mengharungi pandemik COVID-19.
"Kerajaan harus segera memperolehi persetujuan bank untuk melaksanakan moratorium keseluruhan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, khususnya B40 dan M40.
"Kemudahan sama harus juga diberikan kepada syarikat-syarikat yang terus terkesan akibat kemelesetan ekonomi kerana COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Solomon berkata, NUBE adalah kesatuan kedua terbesar dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dengan keseluruhan ahlinya adalah pekerja bukan eksekutif.
Katanya, ramai ahli NUBE dan pelanggan bank sendiri memerlukan penangguhan ke atas pembayaran balik pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan.
"Bagaimanapun mereka terkecuali daripada kemudahan moratorium bersasar kerana dianggap masih bekerja dan tidak mengalami pemotongan gaji, justeru, tidak terjejas oleh pandemik COVID-19.
"Hakikat adalah ahli NUBE, khususnya mereka yang tergolong dalam gred penggajian terendah, adalah antara segmen masyarakat paling terpinggir dan terjejas dalam kejatuhan ekonomi negara akibat penularan COVID-19 yang kian serius semula.
"Ramai daripada mereka mempunyai anggota keluarga yang terkesan kerana hilang pekerjaan atau gaji dipotong, menyebabkan pendapatan isi keluarga mereka merosot dan ini menambah kesulitan kewangan mereka, khususnya kemampuan untuk membayar pinjaman bank," katanya.
Tambahnya, situasi berkenaan bukan sahaja membabitkan ahli NUBE tetapi juga ratusan ribu keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.
Kehilangan pekerjaan atau pemotongan gaji walau seorang ahli keluarga menjejaskan pendapatan seluruh isi keluarga dan memberi tekanan tambahan terhadap kemampuan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi oleh bank, kata Solomon.
"Keluarga-keluarga ini tidak mungkin dapat membayar pinjaman bank dan pada masa sama tidak mempunyai wang mencukupi untuk menyara diri dan ahli keluarga mereka.
"Justeru, ahli NUBE dan ratusan ribuan pekerja lain memerlukan moratorium keseluruhan kerana moratorium bersasar mengecualikan mereka daripada kemudahan itu hanya kerana mereka masih bekerja.
"Walaupun masih bekerja, namun mereka tetap dihimpit dengan pendapatan isi keluarga yang tidak dapat menampung keperluan asas mereka. Justeru, mereka memerlukan pembelaan menerusi moratorium keseluruhan," katanya.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, cadangan NUBE untuk memperkenalkan semula moratorium pinjaman keseluruhan tidak akan membawa sebarang kerugian kepada pihak bank kerana ia hanya membabitkan penangguhan pembayaran dan bukan pelupusan pinjaman itu.
https://youtu.be/xh74y8C4nxY