PUTRAJAYA dan institusi perbankan perlu berhenti mendakwa yang moratorium bersasar mencukupi, dan kerana itu, tiada keperluan pelanjutan moratorium menyeluruh yang berakhir bulan lepas, kata kesatuan pekerja bank.
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Pekerja Bank (NUBE) J Solomon menyifatkan dakwaan itu sebagai “falasi sepenuhnya” dan menyimpang jauh daripada kebenaran.
Katanya, ribuan pekerja berpendapatan rendah walaupun masih bekerja masih tidak mampu menyambung pembayaran pinjaman kerana pengurangan pendapatan disebabkan pelbagai faktor.
“Sedihnya pekerja ini tidak layak untuk moratorium bersasar dan berkemungkinan tidak mampu membayar pinjaman mereka kecuali kerajaan berubah hati dan mendengar rayuan pertolongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerajaan perlu melaksanakan semula moratorium pinjaman bank untuk semua kumpulan berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi melindungi mereka.
“Moratorium bersasar bersyarat adalah tindak balas merepek kepada penderitaan yang berlaku di lapangan (rakyat),” kata Solomon, menambah yang Putrajaya perlu melakukan kajian penilaian sentimen awam terutama dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah tentang keperluan moratorium.
“NUBE yakin akan wujud sokongan meluas bagi pelanjutan moratorium kerana kesan buruk ekonomi disebabkan Covid-19 menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia, terutama sekali kumpulan berpendapatan rendah dan PKS.
“Kesukaran ahli kesatuan kami yang merupakan golongan berpendapatan rendah adalah cerminan situasi buruk merentas pasaran buruh.”
Ramai pekerja tidak layak menerima moratorium bersasar dan terpaksa membayar pinjaman mereka walaupun pendapatan berkurangan, kata Solomon.
“Ini adalah realiti yang mencengkam negara kita dan bank perlu bertindak balas dengan melanjutkan moratorium menyeluruh sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Putrajaya menguatkuasa moratorium enam bulan bermula April bagi membantu peminjam berdepan cabaran ekonomi dicetuskan pandemik koronavirus.
Walaupun wujud desakan pelbagai pihak supaya moratorium dilanjutkan, kerajaan tetap dengan pendirian menghentikannya pada September dan meminta peminjam berhubung dengan bank masing-masing untuk penstrukturan semula pinjaman atau pelanjutan moratorium sekiranya diperlukan. – 17 Oktober, 2020.