1. Pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pekerja hilang mata pencarian atau menanggung pengurangan mendadak dalam pendapatan untuk menyara diri dan keluarga. Krisis ini juga memaksa begitu ramai orang untuk bekerja dari rumah (BDR). BDR amat ketara sekali dalam sektor perbankan tetapi semakin digunakan oleh sesetengah bank sebagai senjata bagi menghentikan pekerja, khususnya ahli NUBE.
2. Pelaksanaan BDH dengan garis panduan kabur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mencetuskan kekeliruan di kalangan pegawai pengurusan dan ahli NUBE. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kegagalan sesetengah bank mengadakan rundingan membina dengan NUBE. Khidmat perbankan adalah perkhidmatan perlu di kawasan-kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), justeru bank-bank memerlukan prosedur jelas untuk diikuti.
3. Garis panduan kabur berhubung BDR oleh pihak berkuasa memberi laluan kepada bank tertentu untuk menggubal dan menguatkuasakan peraturan tersendiri yang bersandarkan dasar-dasar memudaratkan. Peraturan-peraturan ini menjejaskan mata pencarian pekerja, khususnya ahli kesatuan.
Dasar-dasar bank ini amat membimbangkan NUBE. Justeru bank-bank berkenaan harus segera berhenti melaksanakan dasar-dasar yang menjejaskan mata pencarian ahli NUBE dan pegawai pengurusan sendiri.
4. Sungguhpun BDR diperkenalkan untuk memastikan penjarakkan sosial dengan mengurangkan jumlah pekerja di premis bank, pengurusan bank tertentu menggunakan penjarakkan sosial menerusi BDR sebagai cara licik untuk memberhentikan pekerja.
Kami telah mengesan beberapa bank menawarkan BDR kepada staf secara selektif. Ada bank yang mengarahkan ahli NUBE untuk bekerja dari rumah dan tugas mereka di bank diserahkan kepada pegawai dan pengurus. Ada juga bank bertindak mengatur untuk tugas ahli NUBE dilakukan oleh pihak luar (outsource), tidak kira pihak tempatan atau yang berpangkalan di luar negara.
5. Ada bank tertentu menggunakan pandemik Covid-19 untuk melaksanakan automasi tugas-tugas yang dipikul oleh ahli NUBE. Pihak bank seterusnya mengarahkan pegawai pengurusan, dan bukannya ahli NUBE, untuk menguruskan kerja-kerja auotmasi berkenaan. Tindakan ini sudah tentu merugikan sumber tenaga pegawai pengurusan. Ia juga memperlihatkan keengganan bank menyediakan latihan untuk memastikan ahli NUBE terus relevan dan mampu mengendali sistem kerja yang diautomasikan.
6. Justeru, kami menyeru semua ahli NUBE supaya tidak ghairah menuntut bekerja dari rumah atau BDR. Pastikan anda peka dan waspada terhadap segelintir bank-bank yang merancang untuk menghentikan anda dengan menggunakan BDR.
Bank-bank yang tidak bertanggungjawab ini akan memberikan alasan kononnya mereka mampu mengendalikan operasi bank tanpa kehadiran anda dan oleh demikian khidmat anda tidak lagi diperlukan setelah PKPB berakhir. NUBE memberi amaran tegas untuk mendedahkan bank-bank yang zalim dan tidak beretika ini sekiranya mereka nekad menerusikan perancangan jahat menghentikan pekerja dengan memperalatkan BDR.
7. Justeru, kami memperingatkan semua ahli NUBE untuk tidak terlampau teruja dengan BDR kerana ia membawa risiko anda diberhentikan kerja, sekembali bertugas di bank. Dalam pada itu, kami menggesa semua ahli kesatuan untuk melaporkan kepada NUBE segera, sekiranya anda menjadi mangsa penganaiyaan sebegini.
Bantulah NUBE melindungi dan membela mata pencarian anda demi memastikan anda tetap mempunyai pekerjaan setelah pandemik Covid-19 berakhir.