KUALA LUMPUR: Kerajaan harus bersikap terbuka dengan mengadakan pertemuan bersama blok pembangkang untuk mendapatkan cadangan inti pati Belanjawan 2021.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, ketika mengutarakan pendirian sedemikian berkata kerajaan selama ini mencerminkan keterbukaan dengan menerima pandangan pelbagai pihak.
Katanya, ia termasuk orang ramai, persatuan majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar akademik, penganalisis, guru, kakitangan swasta dan penjawat awam.
"Jadi mengapa tidak boleh 'buka pintu' dan ambil kira pandangan pihak lawan (politik) supaya citra Belanjawan 2021 lebih terangkum?
"Kadang-kala, kita boleh jadi 'syok' sendiri kalau tidak mahu dengar suara semua pihak, justeru ambil pandangan segenap lapisan supaya inti pati belanjawan jadi lebih sejahtera.
"Menerusi kandungan belanjawan yang lebih menyeluruh, kita akan dapat lepasi cabaran masa kini dan tingkatkan ekonomi dengan lebih baik, sekali gus menjangkau unjuran pertumbuhan berkadar lima hingga enam peratus tahun depan.
"Jalannya ialah dengan dapatkan sokongan semua pihak supaya kita merintis kemajuan secara bersama, bukan sendiri-sendiri," katanya pada program Bicara BH, di sini, hari ini.
Dikendalikan moderator Fazilah Hani Harun, bicara bertajuk 'Belanjawan 2021: Apa Perlu Ada' turut menampilkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Tamat Sarmidi.
Abdul Halim berkata semua pihak di negara ini wajar mengambil iktibar mengenai cabaran di sebalik pandemik COVID-19 dan melihat pelbagai perbezaan sebagai 'warna' dalam sebuah keluarga.
"Jika seorang daripada kita sakit, sengsara dan tertekan, ia wajar menjadi masalah yang perlu diselesaikan secara bersama, jangan dipinggirkan sesiapa pun sepanjang proses itu.
"Malaysia terlalu cantik, lembut dan sangat berharga, jadi usah biarkan nilai itu terjejas berikutan Belanjawan 2021 kali ini.
"Konteks belanjawan kali ini perlu melihat kepada kepentingan saling memerlukan, justeru istilah kerajaan itu bukan hanya terdiri daripada pemimpin yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Sebaliknya, istilah kerajaan ini harus meliputi 222 Ahli Parlimen, supaya setiap apa yang diketengahkan dalam Belanjawan 2021 menitik beratkan nasib dan jatuh bangun rakyat secara keseluruhan," katanya.