1 Nov 2020 - Kami merujuk kepada permintaan kami kepada MCBA pada 24hb September 2020 berkenaan melanjutkan moratorium untuk 3 bulan keseluruhan pembayaran balik pinjaman bank.
Susulan desakan kami kepada MCBA untuk melanjutkan moratorium keseluruhan bagi ahli kesatuan, sukacita dimaklumkan bahawa beberapa bank bersetuju menawarkan moratorium berkenaan kepada ahli-ahli NUBE jika diminta. Sesetengah bank mengenakan syarat yang terkandung dalam moratorium masing masing.
Ini bermakna ahli NUBE kini berpeluang memperolehi moratorium keseluruhan pembayaran balik pinjaman bank sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat moratorium kurusunya kesukaran kewangan ketika ini.
Kami menyedari bahawa kos sara hidup naik mendadak kerana pandemik Covid-19. Ahli NUBE juga menanggung kos tambahan kerana norma-norma baru kehidupan serta keperluan mematuhi SOP pihak berkuasa.
Ada juga antara ahli NUBE yang menanggung kehilangan upah kerja lebih masa. Di samping itu, ada ahli keluarga yang diberhentikan kerja atau dipotong gaji.
Ini tentunya menjejaskan pendapatan isi rumah. Kami tidak mahu melihat anda sekeluarga menderita dalam menanggung segala kemelut kewangan ini secara bersendirian kerana ia bakal menjejaskan sistem imun anda sehingga terdedah kepada pelbagai musibah.
Ini juga akan membantu meringankan beban ahli-ahli dan membendung sebarang trauma mental untuk mereka sekeluarga dalam menghadapi krisis pandemik ini.
Sekiranya anda menghadapi kesulitan dalam memperolehi moratorium berkenaan, sila hubungi NUBE. Kami akan membantu mengetengahkan kes anda kepada bank berkenaan agar bantuan moratorium diperolehi.
Bagi anda yang tidak menghadapi masalah kewangan, teruskan bayaran ansuran anda. Ini akan membantu memastikan hanya ahli NUBE yang benar-benar memerlukan bantuan memperolehi moratorium berkenaan.
Justeru kami harap kerajaan Malaysia akan melanjutkan moratorium untuk 6 bulan dalam badjet 2021.