PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) mengingatkan Putrajaya bahawa langkah untuk menggalakkan automasi dan digitalisasi dalam Belanjawan 2021 mesti dilengkapkan dengan peruntukan tepat bagi memastikan pekerja tidak diberhentikan.
Setiausaha agungnya, J Solomon berkata, pekerja bank tidak menentang digitalisasi, tetapi mereka mesti mempunyai akses kepada kursus peningkatan kemahiran supaya mereka kekal bekerja dalam sektor perbankan.
“Banyak pekerja, terutama pegawai pelatih bergaji rendah di beberapa bank, termasuk bank multinasional, diberhentikan dengan alasan automasi dan digitalisasi pada masa lalu.
“Ini tidak boleh terjadi kepada pekerja dalam pelbagai sektor, termasuk PKS, yang disasarkanuntuk berkembang dengan langkah digitalisasi di bawah Belanjawan 2021,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
Solomon berkata, peruntukan belanjawan untuk digitalisasi dan automasi akan menguntungkan peniaga dan pemain industri korporat, bukan pekerja sekiranya dasar yang komprehensif untuk peningkatan kemahiran pekerja tidak dirangka.
Tambahnya, banyak ahli NUBE kehilangan pekerjaan sebelum ini ketika “bank yang tidak bertanggungjawab” menyumberluarkan pekerjaan tertentu ke luar negara dan kepada syarikat tempatan lain.
“Apabila sebahagian besar fungsi pekerjaan bagi pekerja tetap diberi kepada sumber tenaga kerja luar, apakah yang tinggal untuk peningkatan kemahiran dan latihan semula dalam kalangan pekerja bank?
“Pekerjaan itu diserahkan kepada syarikat luar untuk mendapatkan tenaga kerja yang murah kerana mereka enggan membayar pekerja tetap seperti yang dijanjikan. Akhirnya, mereka buang pekerja tetap,” katanya.
Namun, beliau mengakui Belanjawan 2021 menangani sebahagian besar isu yang dihadapi oleh B40, M40 dan juga komuniti perniagaan, selain menambah bahawa peluasan program subsidi upah penting untuk membantu menyelamatkan pekerjaan.
Katanya, beliau “gembira” kerana berbilion-bilion ringgit diperuntukkan melatih semula pekerja, tetapi menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia supaya memperketatkan kelompongan yang boleh membawa kepada rasuah.
“Kita perlu pastikan pekerja mendapat manfaat sepenuhnya daripada usaha ini yang bukan sahaja membantu mereka mengekalkan pekerjaan, tetapi juga membolehkan mereka meneroka pilihan baru.
“Mereka tidak boleh hilang pekerjaan kerana ini akan mengakibatkan masalah sosio-ekonomi lain.
“NUBE tidak menolak automasi, tetapi kami meminta agar pekerja terjejas diberi latihan semula kemahiran dan dilatih semula untuk bertahan.
“Jadi dalam konteks ini, peruntukan RM1 bilion itu tepat pada masanya dan mesti dibelanjakan untuk tujuan itu.”