KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) memuji Belanjawan 2021 kerana merangkumi pendekatan komprehensif untuk menangani sebahagian besar masalah rakyat akibat pandemik COVID-19, terutama kumpulan pendapatan isi rumah B40 dan M40.
“Belanjawan 2021 menyediakan perbagai bantuan untuk membela pekerja dan penduduk terpinggir, sekali gus memperlihatkan keprihatinan dalam memastikan mata pencarian mereka tidak terjejas,” kata Setiausaha Agungnya J.Solomon dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, belanjawan sulung Perikatan Nasional itu adalah pelan tindakan yang realistik, bukan hanya untuk mengatasi kesuraman ekonomi tetapi juga ketidaksamaan dalam kalangan penduduk selama ini.
“Langkah melanjutkan skim subsidi gaji untuk pekerja memang tepat dan diperlukan kerana pandemik ini akan terus memberi kesan kepada pekerja dan akan mengambil masa yang lama untuk pulih.
“Banyak penekanan diberikan untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur tempatan yang akan meningkatkan industri pelancongan domestik. Hasilnya, semua rakyat Malaysia akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada ini termasuk peniaga tempatan yang dapat membuka perniagaan mereka di kawasan tumpuan.
“Kami sangat gembira bahawa kerajaan menyediakan peruntukan berbilion-bilion ringgit untuk mempercepat automasi dan pendigitalan ekonomi termasuk untuk meningkatkan kemahiran pekerja seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan mesti memastikan bahawa penerapan automasi dan pendigitalan dalam ekonomi negara mesti merangkumi pelan tindakan berkesan untuk memastikan pekerja tidak diberhentikan.
Menurut Solomon, pekerja bank tidak menentang pendigitalan tetapi mereka mesti mempunyai akses latihan meningkatkan kemahiran supaya tetap relevan di pasaran kerja di samping memastikan mereka dapat mengekalkan pekerjaan mereka di sektor perbankan
Bagaimanapun, katannya, ada beberapa keadaan di mana bank tertentu telah memberhentikan pekerja atas alasan melaksanakan automasi dan pendigitalan.
“Kami harap keadaan ini tidak berlaku kepada pekerja di sektor lain, termasuk PKS yang diberikan peruntukan besar untuk meningkatkan operasi mereka secara digital dan automasi," katanya.
Solomon berkata peruntukan bagi automasi dan pendigitalan sangat besar, justeru Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia perlu memantau dan memastikan tidak ada penyalahgunaan dana dan rasuah.
“Kita mesti memastikan pekerja mendapat keuntungan sepenuhnya daripada pendigitalan dan automasi. Ini bukan sahaja akan membantu menjamin pekerjaan mereka tetapi juga memungkinkan mereka melakukan tugasan yang memerlukan set kemahiran yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA