PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan 1,345 mangsa jangkitan Covid-19 pulih, menjadikan bilangan pesakit yang pulih hampir 30,000 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 29,579 pesakit pulih secara keseluruhan sehingga hari ini.
Sementara itu, 8 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, ketika kes jangkitan baharu sebanyak 972 kes.
Sabah masih mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 370 kes, diikuti Negeri Sembilan (260), Selangor (138), dan Labuan (63).
Bagi negeri atau wilayah lain, jangkitan dikesan di Kuala Lumpur dengan 20 kes, Perak (51), Pulau Pinang (34), Kedah (8), Johor (8), Melaka (5), Putrajaya (5), Sarawak (4), dan Kelantan (2).
Keseluruhan kes positif sehingga hari ini 41,181 kes.
Ketika ini, seramai 11,308 pesakit Covid-19 sedang dirawat dengan 86 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 31 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, 14 kes yang dilaporkan membabitkan kluster-kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara, membabitkan klutser PTS Tawau (6), Kluster Penjara Sandakan (4 Kes) dan Kluster Penjara Kepayan (4 kes).
Pada masa sama, Kluster Bah Perdana di Kuala Lumpur tamat hari ini. Sehingga 9 Nov, seramai 55 individu disaring di mana 9 kes dikesan positif dan baki 46 pula adalah negatif serta tidak ada kes kematian direkodkan.