Semua ahli NUBE harus waspada terhadap peringatan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca buruk untuk dua hari yang akan datang.
Negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Trengganu sudah pun melaporkan banjir akibat hujan berterusan dan keadaan sama di jangka berlaku di Selangor dan Perak.
Di kala pandemik Covid-19 menuntut kita mengamalkan norma baharu dalam penjagaan dan kebersihan diri, kita semua harus juga berhati-hati supaya selamat daripada penyakit yang dibawa oleh banjir. Ahli NUBE harus memastikan mereka tidak terdedah kepada risiko Covid-19 mahupun ancaman banjir dalam menjalankan tugas.
Jika anda mangsa bencana banjir, sayugia diingati bank memberikan cuti berbayar dua (2) hari kerja selaras dengan Perjanjian Bersama (CA) NUBE. Jika anda memerlukan cuti tambahan, anda boleh berbuat demikian dengan memohon menggunakan cuti tahunan anda.
Kami menyarankan semua ahli NUBE menggunakan Cuti Berbayar 2 hari ini dengan bijaksana iaitu, jika anda mangsa banjir. Pada masa sama NUBE juga mengingatkan semua ahli untuk tidak berkompromi dengan SOP Covid19 khususnya semasa bertugas di bayangi cuaca buruk dan risiko banjir.
Pastikan Keselamatan, Pastikan Kesihatan.