KUALA LUMPUR: Maybank akan memulakan program meningkatkan kemahiran 360 kakitangan bukan keraninya di seluruh negara dengan peranan baharu menerusi 'Workplace Enablers' bernilai kira-kira RM500,000.
Menurut bank terbesar dari segi aset itu, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan menaik taraf kakitangannya dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang dalam persekitaran kerja Revolusi Industri 4.0 dan pandemik COVID-19.
"Program unik ini, dipercayai yang pertama di Malaysia, akan memberikan kakitangan bukan-kerani kemahiran baharu, yang akan mempercepat kemajuan kerjaya mereka dan memikul tanggungjawab yang lebih besar.
"Ini termasuk memberikan peluang kepada mereka untuk ditugaskan ke bahagian lain di bank di mana mereka dapat mempraktikkan kemampuan baharu," menurut Maybank dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf berkata inisiatif ini adalah komponen penting dalam usaha Maybank merancang semula tempat kerja bagi menyesuaikan dengan persekitaran yang mengalami perubahan berterusan, terutama perubahan susulan digitalisasi serta pandemik.
"Melalui program ini, kami tidak hanya ingin melatih kaitangan bukan-kerani, malah meningkatkan nilai kerja mereka sehingga mempunyai motivasi untuk memberikan pengalaman dan layanan yang lebih baik di tempat kerja pada masa hadapan.
"Kami berharap ia dapat membantu mereka bersedia dan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk perubahan yang ketara, terutama dalam antara tempoh paling mencabar pada masa ini yang mendorong ketidaktentuan ekonomi global selain memberi kesan buruk kepada pasaran pekerjaan," katanya.