KUALA LUMPUR: Ahli majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Sivananthan mendakwa penjualan enam ekor rusa oleh Zoo Negara diselubungi misteri dan tidak mematuhi prosedur.
Katanya, enam ekor rusa axis betina (yang juga dikenali sebagai rusa berbintik) baru-baru ini dijual RM5,000 seekor kepada sebuah syarikat swasta, dan tidak diketahui jika pembeli itu membeli rusa itu untuk disembelih bagi mendapatkan dagingnya atau untuk tujuan pembiakan.
Sivananthan, yang juga penasihat kesatuan pekerja di Zoo Negara, membuat aduan dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mendapatkan penjelasan. Semua zoo di negara ini terletak di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Beliau berkata, setahunya berdasarkan amalan dahulu, haiwan di zoo hanya dibenarkan untuk ditukar jika terdapat lebihan dan ia tidak pernah dijual.
“Kami ingin tahu adakah pengurusan zoo dibenarkan menjual haiwan sesuka hati dan tanpa mengikut prosedur standard. Kebiasaannya, mereka perlu membuat tender terbuka untuk penjualan sebarang aset kerajaan.
“Jadi, siapa yang mendapat RM30,000 daripada penjualan ini? Jika seorang, dua dibenarkan menentukan penjualan haiwan zoo, kuasa itu boleh disalahgunakan,” katanya kepada FMT.
Sivananthan turut mendakwa enam ekor rusa itu dibawa keluar dari zoo dan diangkut pembeli tanpa mengikuti protokol betul.
“Kami juga tertanya-tanya apakah Jabatan Hidupan Liar memberi kebenaran rasmi kepada mereka. Paling penting, kementerian harus mempunyai beberapa garis panduan mengenai penjualan haiwan dari zoo.”
Bekas pemangku pengarah Zoo Negara, Dr S Vellayan berkata, ia bukan amalan zoo dahulu untuk menjual haiwannya, kecuali dalam keadaan peringan dan ia hanya berlaku sekali dalam 28 tahun beliau bersama zoo itu.
Katanya, amalan biasa ialah menukarnya dengan zoo lain atau badan berkaitan yang beroperasi secara sah dan dilesenkan untuk mengusahakan ladang.
“Ini boleh menyebabkan penyalahgunaan seperti menjual haiwan kepada mereka yang mempunyai kepentingan. Dan kita tidak tahu sama ada pemilik baru tahu cara menjaganya. Terdapat juga bahaya penularan penyakit.”
Sementara itu, Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Panda di Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli memberitahu FMT, terdapat kira-kira 60 ekor rusa itu yang merupakan spesies komersial.
Katanya, zoo itu perlu mengurangkan jumlahnya dan disebabkan rusa itu termasuk dalam kategori haiwan tidak dilindungi, ia boleh dijual kepada individu atau syarikat untuk tujuan pembiakan atau daging mereka.
“Kami mendapat kebenaran diperlukan dari Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kami mendapat harga yang baik sehingga semuanya melebihi harga ditetapkan. Hasil jualan akan digunakan untuk membiayai operasi kami,” katanya sambil menambah pembeli mendapat pelepasan sama daripada pihak berkuasa sama.
Beliau berkata, pembeli sudah memiliki beberapa rusa axis yang diperolehi dari Melaka.