PETALING JAYA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedang meneliti aduan diajukan kesatuan pekerja perbankan Malaysia, yang menyebut kegagalan Kementerian Sumber Manusia melindungi ahli mereka dalam beberapa pertikaian dengan bank HSBC.
Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) berkata, pihaknya terpaksa membawa isu itu kepada badan antarabangsa selepas kementerian dan Bank Negara gagal bertindak atas beberapa aduan mereka.
Setiausaha Agung NUBE J Solomon mendakwa, kementerian tidak menguatkuasakan perjanjian perundingan bersama mereka dengan bank, menghalang HSBC daripada menyumber keluar pekerjaan dengan mengorbankan pekerja tempatan, atau melindungi hak NUBE untuk berunding dengan bank.
“ILO telah menulis kepada kerajaan awal bulan ini untuk meminta penjelasan mengenai cara ia menangani pertikaian melibatkan HSBC.
“Kerajaan Malaysia akan berdepan dengan Jawatankuasa ILO mengenai Kebebasan Berorganisasi (CFA), sistem kehakiman dalaman mengenai pertikaian yang berterusan antara NUBE dan HSBC.
“Jawatankuasa penyeliaan itu akan menilai kegagalan kerajaan dan memberi saranan untuk menyelesaikan pertikaian. Ia juga akan membuat cadangan diperlukan untuk menghormati kesatuan sekerja dan hak pekerja,” katanya.
Solomon berkata, pelanggaran itu khususnya terhadap Konvensyen ILO No 87 dan 98 yang memperuntukkan hak untuk perundingan bersama dan hak kebebasan berorganisasi.
“Malaysia telah meratifikasi Konvensyen No 98 tentang hak untuk perundingan bersama yang bermaksud ia wajib mematuhi undang-undang dan amalannya,” katanya.
Antara lain, beliau berkata kesatuan mahu kerajaan diarahkan ILO untuk:
- Mengambil langkah sesuai untuk menyelesaikan pertikaian antara HSBC dan NUBE, dan supaya semua pekerja yang diberhentikan akibat tindakan industri diambil bekerja kembali dengan gaji tertunggak dan pampasan mencukupi;
- Memastikan HSBC menarik balik skim pemisahan sukarela (VSS) dan segera mengadakan rundingan dengan NUBE; dan,
- Memastikan HSBC menghentikan semua aktiviti penyumberan luarnya dengan segera.
Antara pertikaian mereka dengan HSBC termasuk tindakan bank yang “agresif” menyumber luar kerja, baik di dalam mahupun luar negara, “dengan mengorbankan pekerja tempatan”, yang didakwa NUBE sebahagian daripada usaha mengurangkan kos.
“Amalan penyumberan luar ini menyebabkan ramai pekerja B40 dan M40, khususnya HSBC, kehilangan pekerjaan manakala ramai lagi akan mengalami nasib sama apabila tiba waktunya. Ini bertentangan dengan perjanjian kolektif yang ditandatangani antara bank dan kesatuan pekerja,” kata Solomon.
Beliau berkata, amalan itu juga boleh menimbulkan isu keselamatan, kerana data peribadi seperti nombor telefon, alamat dan gaji dapat diakses orang luar.
FMT menghubungi HSBC untuk mendapatkan komen.