PETALING JAYA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) meletakkan Malaysia antara puluhan negara dalam kategori “kegagalan serius untuk mengemukakan”, terdiri daripada negara yang berulang kali mengabaikan permintaan laporan mengenai isu tertentu.
Dalam laporan Penerapan Piawaian Buruh Antarabangsa 2021 daripada jawatankuasa pakar ILO mengenai konvensyen dan cadangan, mereka menyatakan Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berulang kali gagal menyerahkan laporan yang diminta.
“Jawatankuasa itu dengan kesal menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak membalas ulasan sebelum ini. Kewajipan penyerahan perlembagaan adalah yang paling penting dan merupakan elemen asas sistem piawai ILO.
“Jawatankuasa berharap, sebagaimana persidangan jawatankuasa sebelum ini yang bersidang pada Jun 2019, bahawa Malaysia akan melaksanakan tanggunjawabnya untuk menyerahkan konvensyen, saranan dan protokol kepada pihak berwajib” kata laporan itu.
ILO sekali lagi meminta kerajaan untuk memberikan maklumat mengenai penyerahan Syor ILO C198, yang diterima pakai oleh persidangan tahunan badan yang dihadiri oleh wakil Kementerian Sumber Manusia, termasuk menteri setiap tahun ke Parlimen.
“Selain itu, jawatankuasa telah meminta kerajaan untuk memberikan maklumat mengenai penyerahan Konvensyen Gangguan dan Keganasan (C190) yang digunapakai pada sesi ke-108 pada 2019,” kata laporan itu.
Cadangan C198 merujuk kepada pelbagai aspek hubungan kerja, khususnya undang-undang yang melindungi sektor yang terdedah termasuk pekerja asing.
Antara lain, ILO menekankan bahawa dasar kebangsaan mesti digubal dan dilaksanakan sesuai dengan undang-undang dan amalan dengan berunding bersama organisasi yang mewakili majikan dan pekerja.
Katanya, undang-undang sekurang-kurangnya perlu mencakupi langkah untuk memerangi hubungan kerja yang “menyamar” menggunakan kontrak menyembunyikan status sah pekerja yang boleh mengakibatan eksploitasi.
“Mereka perlu memberikan akses yang efektif kepada majikan dan pekerja untuk prosedur dan mekanisme yang cepat, murah, adil dan efisien bagi menyelesaikan pertikaian,” katanya.
Saranan itu menetapkan perlindungan yang berkesan terutama kepada pekerja yang terjejas oleh ketidaktentuan, terutama yang paling terdedah seperti yang ada dalam ekonomi tidak formal, pekerja asing dan pekerja kurang upaya.
“Negara anggota ILO juga harus memiliki dasar yang jelas mengenai kesaksamaan gender dan penguatkuasaan yang lebih baik terhadap undang-undang dan perjanjian yang berkaitan supaya dimensi gender dapat ditangani secara efektif.”
Dalam konteks pekerja asing, ILO berkata kerajaan perlu menangani penyalahgunaan kategori ini kerana mereka biasanya dipengaruhi oleh hubungan pekerjaan yang tidak pasti dan samar-samar.
Mengenai Konvensyen 190, negara anggota sudah diberitahu untuk mengambil langkah sesuai bagi mencegah keganasan dan gangguan di tempat kerja, termasuk berdasarkan gender.
Antara lain, mereka harus memberikan maklumat dan latihan kepada pekerja mengenai bahaya dan risiko keganasan dan gangguan dikenal pasti serta langkah pencegahan dan perlindungan perlu diambil.
“Mangsa keganasan dan gangguan berdasarkan gender mesti mempunyai akses yang effektif serta mekanisme sokongan aduan dan penyelesaian pertikaian yang selamat dan berkesan,” tambahnya.
FMT menghubungi Menteri Sumber Manusia M Saravanan untuk mendapatkan komennya.