PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia masih tidak mengambil kisah rayuan dibuat kebanyakan pekerja supaya membantu menghentikan pemberhentian pekerja dalam sektor perbankan, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).
Mereka menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar campur tangan demi kepentingan pekerja, yang kebanyakannya golongan B40 dan M40, dan memastikan syarikat multinasional tidak memperlakukan pekerja tempatan secara tidak adil melalui Skim Pemisahan Sukarela dan Bersama (VSS & MSS).
Dalam kenyataan, Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, kesatuan berkenaan sudah membawa isu VSS dan MSS yang dilaksanakan berulang kali oleh HSBC Malaysia kepada perhatian kementerian beberapa kali sejak tahun lalu, namun tiada tindakan diambil mengenainya.
“…Tidak ada tindakan penyelesaian daripada kementerian itu bagi mengelakkan tindakan menganiayai pekerja, terutama dengan pelaksanaan VSS dan MSS.
“Pelaksanaan strategi sumber keluar perkhidmatan tertentu menghilangkan peluang pekerjaan pekerja tetap rakyat tempatan,” katanya.
Solomon mempersoalkan rasional di sebalik tindakan kementerian meluluskan pelaksanaan langkah pemberhentian pekerja oleh HSBC Malaysia sewaktu krisis, iaitu ketika mereka sepatutnya membantu melindungi mata pencarian pekerja tempatan.
“Melihat kepada sikap kementerian, NUBE berpandangan bahawa kementerian lebih memihak kepada majikan dan pihak korporat daengan membenarkan penganiayaan berlaku ke atas pekerja,” katanya.
“Kementerian sepatutnya bertindak tegas agar tidak ada majikan yang sanggup melakukan perkara yang sama ke atas para pekerja di negara ini.
“Kementerian tidak wajar memberi kelulusan kepada HSBC Bank Malaysia untuk menghentikan pekerja, sebaliknya harus mengarahkan mereka menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran ketika pihak bank terus mencatat keuntungan.”
Beliau turut menyuarakan harapan agar perdana menteri memastikan semua kementerian dalam Jemaah Menteri tidak mengabai dan menggadaikan tanggungjawab mereka ke atas kepentingan rakyat.