SINGAPURA: Polis republik ini, dengan kerjasama polis Malaysia, memberkas 11 wanita dan 11 lelaki warga Malaysia berhubung kes penipuan pekerjaan babitkan 250 mangsa di Singapura.
Hasil siasatan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura bersama Kontinjen Polis Johor (JPC) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia berjaya membongkar sindiket penipuan pekerjaan berpangkalan di Johor itu.
Menurut kenyataan Polis Singapura, pada 21 Jun lalu, pegawai dari JPC menyerbu empat premis di Johor dan memberkas 11 wanita serta 11 lelaki berusia antara 15 dan 28 tahun, yang disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan.
Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap kes penipuan pekerjaan yang membabitkan 250 mangsa di Singapura.
Pengarah CAD, David Chew, berkata semasa operasi, 48 peralatan telekomunikasi, 12 komputer riba dan risalah latihan dirampas.
"Sindiket itu menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan mangsa melintasi sempadan antarabangsa dengan tawaran pekerjaan palsu yang dijanjikan pulangan lumayan.
"Sebagai sebahagian daripada tipu muslihat, mangsa harus membuat pesanan di wadah e-dagang dan membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga, dengan alasan ia akan meningkat penilaian peniaga dalam talian.
Tambah beliau, CAD dengan kerjasama pihak berkuasa di Johor berjaya bertindak merentasi sempadan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap ancaman itu.
"Saya berterima kasih kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan pegawai mereka.
"Sokongan dan komitmen mereka dalam menangani sindiket jenayah transnasional ini amat dihargai," katanya.
Polis juga mengingatkan orang ramai mengambil langkah melindungi diri mereka sendiri daripada menjadi mangsa penipuan dan menyenaraikan panduan dan perkara yang harus diberi perhatian ketika mencari pekerja.
Antaranya, jangan terima tawaran pekerjaan yang meragukan iaitu menawarkan pulangan lumayan dengan usaha yang minimum.
Sekiranya diundang ke ruang sembang kumpulan media sosial mempromosikan pekerjaan sambilan dikaitkan dengan mana-mana pasaran dalam talian, tolak undangan itu, sekat nombornya dan laporkan kepada polis.
Orang ramai juga perlu sentiasa mengesahkan kesahihan tawaran pekerjaan dengan e-dagang rasmi di laman sesawang.
Ini kerana wadah e-dagang tidak akan meminta sesiapa memindahkan wang ke akaun bank dengan janji bahawa mereka akan mengembalikan wang dengan komisen.
Selain itu, jangan klik URL yang mencurigakan atau memuat turun aplikasi dari sumber yang tidak diketahui. - AGENSI