KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM701.34 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 berbanding RM400.77 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu disumbangkan oleh kenaikan jumlah pendapatan selain penurunan perbelanjaan operasinya, kata bank itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.
Menurut bank itu, tempoh suku sama pada tahun lalu telah dijejaskan oleh impak kerugian pengubahsuaian bersih.
Selain itu, perolehan hasil bagi suku kedua 2021 telah berkurangan kepada RM2.93 bilion berbanding RM3.26 bilion, sebelum ini.
Bagi separuh pertama 2021, keuntungan bersih RHB Bank mencecah RM1.35 bilion berbanding RM971.65 juta bagi suku sama 2020 manakala hasil berkurangan kepada RM5.83 bilion daripada RM6.47 bilion sebelum ini.
"Prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh separuh pertama tahun ini jelas memaparkan daya tahan kami untuk terus mencatat pertumbuhan selain menggambarkan kekukuhan asas-asas kami. Ini termasuk kemampuan mengekalkan modal dan kedudukan mudah tunai yang kukuh biarpun dalam persekitaran operasi yang mencabar," katanya.
RHB Bank turut mengumumkan dividen interim 15 sen sesaham atau menyamai nisbah pembayaran sebanyak 45.1 peratus.
Dividen interim itu merangkumi pembayaran tunai sebanyak 5.0 sen sesaham dan bahagian boleh dipilih di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen sebanyak 10 sen sesaham.
Selain itu, jumlah aset kumpulan itu meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada RM282.3 bilion setakat 30 Jun, 2021, dari Disember tahun lalu.
Aset bersih sesahamnya pada RM6.86 manakala ekuiti pemegang saham berjumlah RM27.5 bilion setakat 30 Jun 2021.
"Kedudukan modal kami kekal kukuh manakala Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET-1) serta jumlah nisbah modal kumpulan masing-masing pada 16.8 peratus dan 19.3 peratus."
Dalam pada itu, segmen pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan itu meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM191.0 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan gadai janji, kewangan auto, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Singapura.
Pinjaman dan pembiayaan domestik berkembang sebanyak 4.1 peratus bagi tahun ke tahun.
Setakat akhir Jun, 2021, bahagian pasaran pinjaman kumpulan itu mencecah 9.0 peratus.
Rosot nilai pinjaman kasar adalah RM3.1 bilion setakat tempoh sama dengan nisbah rosot nilai pinjaman kasar pada 1.63 peratus berbanding masing-masing pada RM3.4 bilion dan 1.87 peratus setakat 30 Jun, 2020.
Menurutnya, nisbah liputan kerugian pinjaman bagi kumpulan, tidak termasuk rizab pengawalseliaan, kekal kukuh pada 124.1 peratus setakat akhir Jun 2021.
Selain itu, jumlah deposit pelanggan meningkat sebanyak 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM215.6 bilion yang dipacu terutamanya oleh pertumbuhan akaun simpanan dan semasa (CASA) sebanyak 10.8 peratus manakala deposit tetap dan masa pasaran wang sebanyak 7.6 peratus.
Komposisi CASA berada pada 29.3 peratus setakat 30 Jun, 2021.
Nisbah liputan mudah tunainya kekal sihat pada 141.8 peratus.
"Sektor perbankan secara keseluruhannya diunjur kekal berdaya tahan membabitkan perspektif mudah tunai dan modal bagi menyokong pertumbuhan selain memberi kemudahan untuk peminjam terjejas.
"Peruntukan kerugian kredit yang dijangkakan kekal konservatif susulan langkah proaktif berkaitan sejak tahun lepas.
"Dari segi monetari, kadar dasar semalaman dijangka kekal stabil bagi tempoh berbaki 2021," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli berkata bank tersebut berkemungkinan sukar mencapai sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) 11.5 peratus yang ditetapkan di bawah pelan strategi lima tahun dikenali sebagai FIT22 yang tamat pada tahun hadapan.
Menurutnya, bersandarkan jangkaan ROE sekitar 10 peratus hingga 11.5 peratus pada akhir pelan itu, bank tersebut bagaimanapun mungkin dapat meraih sebahagian besar sasaran lain ditetapkan dalam program itu.
"Susulan pandemik dan impak kawalan pergerakan, kami berkemungkinan tidak dapat mencapai ROE yang ditetapkan pada 11.5 peratus. Dari segi ROE itu, kami telah berupaya mencatat pemulihan pada tahun ini," katanya pada sesi taklimat media secara maya mengenai prestasi kewangan bank itu bagi tempoh separuh pertama di sini, hari ini.
Khairussaleh berkata, ROE bank itu telah meningkat sebanyak kira-kira 10 peratus dan pihaknya berharap dapat mencecah paras itu pada akhir tahun ini.
"Kami mempunyai tempoh setahun lagi sebelum FIT22 berakhir. Kami berharap dapat terus mempertingkat ROE, namun berpendapat bahawa sasaran awal (yang ditetapkan) itu tidak mungkin dapat dicapai," katanya. - Bernama