Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan dengan segala sumber dan kekayaan oleh Tuhan, dan kita berbangga sebagai rakyat Malaysia.
Prinsip pertama Rukun Negara "Kepercayaan Kepada Tuhan", yang menjamin kebebasan kepercayaan bagi semua agama. Penghormatan yang diberikan kepada prinsip ini dan dengan amalan toleransi yang tinggi antara kaum, kita semua berhasrat untuk mencapai perpaduan yang lebih jitu bagi semua rakyat Malaysia yang ingin hidup dengan aman dan harmoni, tanpa mengira agama dan budaya yang berbeza.
Pandemik Covid-19, antara lain, kemungkinan telah menjejaskan kehidupan kita, kemungkinan telah meragut nyawa orang yang kita sayangi dan kemungkinan telah memperluaskan penjarakan sosial di antara kita. Vaksin yang ada bukanlah penawar dan tidak ada jaminan bagi kehidupan kita, oleh itu, wajib menandatangani dokumen penafian sebelum menerima suntikan.
Kita tahu bahawa, sebelum pandemik Covid-19 yang membawa maut, mereka yang kaya dan berkuasa telah menggugat kehidupan rakyat Malaysia yang miskin dan lemah, merompak sumber mata pencarian mereka, bahkan kadangkala kehidupan orang yang kita sayangi dan membawa kepada penjarakan sosial atas nama, antara lain agama, kaum dan kekayaan.
Pihak berkuasa juga, memperkenalkan pelbagai dasar dan menguatkuasakan banyak undang-undang tetapi tidak ada jaminan dapat menghapuskan jurang, ketidaksamarataan pendapatan dan pelbagai bentuk ketidakadilan yang lain.
Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila kita melihat ramai rakyat Malaysia yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan, tidak cukup tempat untuk pesakit-pesakit Covid-19 dan rawatan perubatan awam yang tidak mencukupi di negara yang dirahmati ini.
Di sebalik pelbagai cabaran, bukan hanya disebabkan oleh virus, tetapi juga yang dicetuskan oleh mereka yang kaya dan mereka yang berkuasa, dan termasuk mempunyai tiga orang Perdana Menteri dalam tempoh kurang dari empat tahun, TUHAN tidak membinasakan Malaysia.
Ketika meraikan 64 tahun Kemerdekaan negara kita, kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang baharu dan sekarang adalah masa untuk kita berfikir secara berbeza. Fikirkan perspektif yang baharu, kaedah yang baharu untuk melakukan sesuatu dengan "perisian" baharu demi semua rakyat Malaysia agar MEMPUNYAI akses untuk menikmati kemakmuran di negara yang dirahmati ini.
Ketidaksamarataan pendapatan, ketidaksamarataan kemudahan kesihatan, ketamakan syarikat, diskriminasi, hukuman selektif, cemburu, ucapan kebencian, penipuan, obsesi untuk kekayaan dan sifat malas harus dikikis.
Untuk menyelamatkan Malaysia dan Rakyat, kita perlu but semula kehidupan kita dengan berkongsi, prihatin, menilai kembali tindakan kita, mendakap idea-idea dan peluang-peluang yang baharu, membuka minda kita kepada penyesuaian dan hidup untuk menyumbang.
"Ingatlah bahawa orang yang paling bahagia bukanlah mereka yang mendapat lebih banyak, tetapi mereka yang lebih banyak memberi." - H. Jackson Brown Jr.
Hanya apabila kita dapat melihat 20% rakyat Malaysia berhenti daripada memperkayakan diri mereka sendiri berbanding 80% rakyat Malaysia yang serba kekurangan keperluan asas, kita dapat melihat rakyat Malaysia yang akan bersatu untuk keamanan dan keharmonian.
Hanya apabila rakyat Malaysia yang kaya dan berkuasa sanggup memberi dan menghormati hak asasi semua orang, terutama rakyat Malaysia yang miskin dan lemah, tidak kira agama dan budaya, kita akan dapat melihat keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Persekitaran itu akan membolehkan kita selamat dari pandemik ini dan menyelamatkan Malaysia, sekali gus memberi makna kepada slogan "Kita Jaga Kita".
Selamat Merdeka kepada semua rakyat Malaysia yang saya cintai.
Semoga Tuhan terus melindungi dan merahmati rakyat Malaysia.