NUBE GESA MENTERI SUMBER MANUSIA LIBATKAN RAKAN-RAKAN SOSIAL DARIPADA MENGELUARKAN KENYATAAN BERSIFAT UGUTAN TERHADAP PEKERJA-PEKERJA TIDAK DIVAKSIN
Pada 3 September 2021, dilaporkan bahawa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengeluarkan kenyataan bahawa "pekerja yang enggan mengambil vaksin COVID-19 boleh berhadapan dengan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 1994 kerana menyebabkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja." Berdasarkan laporan itu, Datuk Seri M. Saravanan juga menyatakan bahawa walaupun tidak ada peruntukan undang-undang yang menjadikan vaksinasi COVID-19 sesuatu yang berwajib, Akta OSH 1994 mengehendaki majikan memastikan persekitaran kerja yang selamat, yang tidak membahayakan pekerja mereka. Nampaknya menteri menggambarkan bahawa majikan mempunyai tugas dalam memaksa pekerja mereka diberi vaksin.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berpandangan, kenyataan dan ancaman bahawa tindakan akan diambil terhadap pekerja-pekerja yang tidak mengambil vaksin adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan bersifat diskriminasi.
Secara umum diterima bahawa vaksinasi COVID-19 tidak menjamin dapat mencegah jangkitan COVID-19 sepenuhnya dan pada masa yang sama, mereka yang telah diberikan suntikan vaksin masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain. Perkara ini telah diakui oleh Kementerian Kesihatan. Selanjutnya, sekarang diketahui bahawa keberkesanan vaksin COVID-19 sudah mula menurun dalam tempoh beberapa bulan.
NUBE bimbang kerana kenyataan tidak cermat oleh Menteri Sumber Manusia boleh menyebabkan diskriminasi yang tidak adil terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin, pemecatan tidak adil pekerja-pekerja yang tidak divaksin dan diskriminasi oleh majikan dalam proses pengambilan pekerja.
NUBE juga bimbang kerana kenyataan Menteri telah menimbulkan kegelisahan dan tekanan mental yang tidak wajar dalam kalangan pekerja yang telah pun mengalami tekanan yang teruk akibat pandemik COVID-19. Daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengakibatkan majikan memaksa pekerjanya menerima vaksin, sebaliknya Menteri seharusnya memberi perhatian untuk meminta majikan agar berbincang dengan pekerja mereka mengenai masalah kesihatan mereka, risiko dan keberkesanan vaksinasi, yang menyediakan jalan untuk dialog terbuka bersama ahli-ahli perubatan dan pemimpin agama. Pihak kerajaan harus membincangkan pendekatan alternatif untuk mencegah penularan dan jangkitan COVID-19, termasuk mereka yang tidak mendapat vaksin atau tidak ingin mendapatkan vaksin atas pelbagai alasan peribadi dan kesihatan.
NUBE berpandangan bahawa sebelum Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan majikan dan pekerja berhubung isu vaksinasi, Menteri seharusnya mengadakan pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuklah Kesatuan Sekerja Malaysia Kongres (MTUC) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
NUBE pernah memanjangkan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai pelbagai masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank, tetapi beliau tidak memberi respons kepada kami berhubung isu-isu yang telah kami bangkitkan selama ini.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pendekatan "Keluarga Malaysia" sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. Dalam keadaan ini, amatlah malang dan mengecewakan jika Kementerian Sumber Manusia mengambil pendekatan yang bertentangan dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan kita sekarang.
NUBE berharap Kementerian Sumber Manusia akan menghormati semangat dialog sosial dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk MTUC, MEF dan NUBE, untuk berusaha mencapai perlindungan sosial yang menyeluruh bagi semua pekerja yang terlibat.
J SOLOMON
SETIAUSAHA AGUNG
9 SEPTEMBER 2021