KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyifatkan kenyataan Kementerian Sumber Manusia bahawa pekerja yang enggan mengambil vaksin Covid-19 bakal berdepan tindakan undang-undang sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.
Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, pihaknya juga bimbang kenyataan tidak cermat Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan boleh menyebabkan diskriminasi yang tidak adil terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin.
Katanya, ia juga boleh menyebabkan pemecatan tidak adil kepada pekerja-pekerja yang tidak divaksin dan dikriminasi oleh majikan dalam proses pengambilan pekerja.
“NUBE juga bimbang kerana kenyataan Menteri telah menimbulkan kegelisahan dan tekanan mental yang tidak wajar dalam kalangan pekerja yang telah mengalami tekanan yang teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan pada 3 September lalu menegaskan bahawa pekerja yang enggan mengambil vaksin boleh berdepan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 1994 kerana menyebabkan persekitaran yang tidak selamat di tempat kerja.
Menteri itu juga menyatakan bahawa walaupun tidak ada peruntukan undang-undang yang menjadikan vaksin sesuatu yang wajib, akta tersebut mengehendaki majikan memastikan persekitan kerja yang selamat dan membahayakan pekerja mereka.
Menurut Solomon, daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengakibatkan majikan memaksa pekerja mereka menerima vaksin, Menteri harus memberi perhatian untuk meminta majikan agar berbincang dengan pekerja mengenai masalah kesihatan mereka.
Katanya, kerajaan juga boleh membuka jalan mengadakan dialog terbuka bersama ahli-ahli perubatan dan pemimpin agama mengenai risiko dan keberkesanan vaksinasi.
“Kerajaan juga harus membincangkan pendekatan alternatif untuk mencegah penularan dan jangkitan Covid-19 termasuk mereka yang tidak mendapat vaksin atau enggan mendapat vaksin atas pelbagai alasan peribadi dan kesihatan,” katanya.
Beliau menambah, sebelum Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan majikan dan pekerja mengenai isu vaksinasi, Menteri harus mengadakan pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan termasukan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
“NUBE pernah memanjangkan kepada menteri mengenai pelbagai masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank, tetapi beliau tidak memberi respon kepada kami berhubung isu-isu yang telah dibangkitkan,” katanya.
Solomon berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melaksanakan pendekatan Keluarga Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, namun dalam keadaan ini amat malang dan mengecewakan jika kementerian mengambil pendekatan yang bertentangan dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan.
“NUBE berharap Kementerian Sumber Manusia akan menghormati semangat dialog sosial dengan semua pihak berkepentingan termasuk MTUC, MEF dan NUBE bagi mencapai perlindungan sosial yang menyeluruh bagi semua pekerja,” katanya.