KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula kaedah pelaporan harian COVID-19, yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata KKM disaran menggunakan kaedah seragam seperti digunakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam menyediakan maklumat terkini.
Selain itu, katanya, KKM boleh kembali kepada kaedah sebelum ini supaya data yang diterbitkan konsisten dan tidak mengelirukan orang ramai.
"Sejak awal minggu ini, NUBE mendapati pihak media menyiarkan set data berbeza mengenai jumlah kes jangkitan harian terkini antara satu sama lain, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketepatan data.
"Penelitian NUBE mendapati ada tiga atau empat data yang boleh diperoleh setiap hari.
"Pertama ialah statistik dikeluarkan menerusi portal COVIDNOW yang lazimnya menjelang tengah hari setiap hari (berdasarkan data jam 11.59 tengah malam hari sebelumnya).
"Kedua catatan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, menerusi media sosialnya, dan satu lagi kenyataan media Kementerian Kesihatan pada sebelah petang setiap hari (berdasarkan data setakat 12 tengah hari).
"Pada pandangan NUBE, kewujudan pelbagai set data mengenai status kes COVID-19 di Malaysia boleh mengelirukan orang ramai yang berdepan tekanan krisis kesihatan berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Solomon berkata, data atau statistik yang digunakan perlu konsisten bagi membolehkan pengguna memperoleh maklumat tepat dan tidak mengelirukan, khususnya pihak media yang berusaha menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai.
Katanya, pelaporan membabitkan angka lama yang dibawa ke hadapan dan bukan berdasarkan butiran jam 12 tengah malam atau tengah hari, membingungkan rakyat sehingga menimbulkan persoalan sama ia boleh dipercayai dan diterima.
"NUBE berharap KKM akan memilih satu kaedah konsisten dan seragam, tidak kira bila tarikh akhir pelaporan, sama ada tengah malam (jam 11.59 malam) atau satu masa tertentu pada hari pelaporan (jam 12 tengah hari).
"Ini supaya maklumat yang dikeluarkan tidak mengelirukan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai aspek keseragaman data yang terkini," katanya.