KESATUAN Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan satu kaedah konsisten dan seragam, seperti digunakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan agensi itu sebelum ini dalam menyediakan maklumat terkini status Covid-19.
Setiausahanya, J Solomon berkata sejak awal minggu ini, NUBE mendapati media menyiarkan set data berbeza mengenai jumlah kes jangkitan harian terkini antara satu sama lain sehingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketepatan data.
Katanya, perbezaan dalam laporan mereka dipercayai berpunca daripada kelainan dalam maklumat yang diperoleh daripada KKM.
“Penelitian NUBE mendapati terdapat tiga atau empat data yang boleh diperoleh setiap hari. Pertama statistik dikeluarkan menerusi portal COVIDNOW, yang lazimnya muncul menjelang tengah hari setiap (berdasarkan data jam 11.59 tengah malam hari sebelumnya).
“Kedua catatan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dikeluarkan menerusi media sosial beliau dan satu lagi kenyataan media KKM pada sebelah petang setiap hari (berdasarkan data setakat 12 tengah hari).
“Jadi pada pandangan NUBE, kewujudan pelbagai set data mengenai status kes Covid-19 di Malaysia, boleh mengelirukan orang ramai yang sudah pun berhadapan siri tekanan ekoran krisis kesihatan yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Solomon berkata, walau apapun bentuk atau statistik yang hendak digunakan, ia seharusnya sesuatu yang konsisten bagi membolehkan setiap pengguna data hanya memperoleh maklumat tepat dan tidak mengelirukan.
“Terutama pihak media yang sentiasa berusaha untuk menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai.
“Oleh itu, NUBE menyarankan KKM menggunakan satu kaedah seragam, yang digunakan JKJAV, dalam menyediakan maklumat terkini yang konsisten atau kita kembali kepada kaedah yang pernah digunakan KKM sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah memperuntukkan dana besar untuk pembangunan teknologi maklumat bagi tujuan mengumpulkan data.
“Kita kadang-kadang menerima angka lama yang dibawa ke hadapan atau ‘backlogs cases’, dan bukannya berdasarkan butiran 12 tengah malam atau tengah hari.
“Ini membingungkan rakyat sehingga menimbulkan persoalan sama ada angka diberikan kadang-kadang boleh dipercayai dan diterima,” katanya.
Katanya, kerajaan masa lalu telah berkompromi dari segi ketelusan dan juga dari segi teras kepercayaan.
“Justeru, kami berharap kerajaan hari ini tidak akan berkompromi dari ketelusan dan konsistensi dalam pentadbiran mereka jika tidak, asas kepercayaan rakyat tidak dapat dipertahankan.
“Sehubungan itu, NUBE berharap KKM memilih satu kaedah konsisten dan seragam, tidak kira bila tarikh akhir pelaporan, sama ada tengah malam tarikh pelaporan (11.59 malam) atau satu masa tertentu pada hari pelaporan (12 tengah hari setiap), supaya maklumat dikeluarkan tidak mengelirukan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai aspek keseragaman data terkini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak pasti sama ada KKM kini dalam proses menyelaraskan kaedah pelaporan data harian.
“Pun begitu, NUBE berharap KKM menyemak semula kaedah pelaporan semasa bagi memudahkan orang ramai memperoleh maklumat terkini dan mengelak persepsi negatif mengenai proses pelaporan harian semasa,” katanya. – Malaysiapost