Kesatuan sekerja amat penting untuk pergerakan buruh kerana mereka membantu mengimbangi kekuatan yang dimiliki oleh majikan berbanding para pekerja. Oleh kerana itu, kesatuan sekerja sangat penting kerana ia memberi para pekerja platform untuk bersatu dengan suara kolektif yang lantang, untuk menyampaikan mesej kepada pihak pengurusan tentang rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka.
Tidak kira sama ada penindasan terhadap semua pekerja atau hanya seorang pekerja, kita perlu memastikan solidariti kita sepanjang masa. Ini kerana Perpaduan adalah Kekuatan. Sesungguhnya, kekuatan teras sebuah kesatuan terletak pada kemampuan ahlinya untuk saling menyokong ketika menghadapi kesusahan. Melalui suara kolektif, ahli-ahli kesatuan akan mendapat perlindungan sosial yang lebih baik kerana mereka menerima upah dan faedah yang lebih baik berbanding pekerja-pekerja bukan ahli kesatuan.
Kesatuan sekerja memberi kuasa kepada para pekerja untuk memilih pemimpin mereka dan memberi mandat kepada mereka untuk berunding demi keadaan kerja yang lebih baik dan faedah-faedah lain melalui perundingan bersama kerana pekerja-pekerja individu tidak mempunyai asas yang kukuh untuk mengemukakan permintaan kepada majikan mereka, untuk melindungi hak asasi mereka. Kesatuan melakukan usaha itu secara berterusan dan secara berkala untuk mendidik ahli mengenai hak dan tanggungjawab mereka.
Oleh itu, adalah mustahak pemimpin-pemimpin Kesatuan dilengkapi dengan kemahiran berunding, untuk berunding dengan majikan, mengenai isu-isu yang penting, yang mendesak, dan yang relevan dengan kehidupan para pekerja pada hari ini.
Diakibatkan oleh pandemik Covid-19, di peringkat global, semakin jelas bahawa mereka yang bekerja, termasuk profesional, melihat perlunya perlindungan dari kesatuan sekerja pada hari ini, lebih luas berbanding sebelum ini, dan dengan itu sudah ada kesedaran akan kepentingan memiliki kesatuan sekerja dan menjadi ahli Kesatuan.
Di Malaysia, kita telah melihat dalam dua tahun terakhir ini, jumlah pekerja yang diberhentikan sewenang-wenangnya atas alasan Covid-19, menyebabkan ramai pekerja bukan ahli kesatuan menderita akibat trauma mental.
Bagi kita yang tidak berhadapan dengan kesan itu mungkin tidak memahami kesukaran dan penderitaan apabila diberhentikan atau bahkan ia tidak menarik perhatian kita sama sekali. Manakala bagi ahli-ahli kesatuan, Kesatuan mengambil kesemua tindakan yang diperlukan demi melindungi kepentingan mereka dan berunding dengan majikan.
Walaupun pekerja-pekerja di Malaysia tidak dilindungi oleh Kementerian Sumber Manusia apabila majikan membuang pekerja mereka dengan sewenang-wenangnya, Kerajaan mengelirukan para pekerja dengan mendakwa bahawa ia adalah hak majikan. Oleh itu, menjadi sangat penting bagi pekerja untuk bersatu ketika wabak ini, untuk memastikan bahawa pekerja-pekerja dilindungi hak mereka sepanjang masa.
Sebagai seorang ahli Kesatuan, penting untuk kita tidak mementingkan diri sendiri, iaitu, kita tidak menggunakan Kesatuan untuk kepentingan diri sendiri semata-mata dan mengabaikan ahli-ahli yang menderita. Malangnya, di Malaysia, gerakan kesatuan sekerja dikecam oleh pengkhianat dalam fraterniti sendiri dan itulah sebabnya kita melihat sebilangan majikan dan pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab cuba memusnahkan kesatuan sekerja dan pemimpin mereka.
Melihat kepada keadaan kompleks di Malaysia pada hari ini, yang menunjukkan sebilangan majikan yang tidak bertanggungjawab memanipulasi dan mengeksploitasi pekerja dengan sokongan beberapa pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab, kita mesti memperkasa kesatuan kita untuk memastikan hak kita dilindungi oleh Kesatuan.
Kita mesti memperluaskan solidariti dan sokongan moral kita, meskipun hanya seorang ahli yang dianiaya secara mental atau fizikal oleh mana-mana majikan atau pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
Moto NUBE: Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu amat relevan dan bermakna bagi memastikan Perpaduan kita diperkukuhkan sepanjang masa. Kita akan bekerja dengan penuh bermaruah dan menikmati kerja yang kita lakukan, untuk membawa kemajuan bukan sahaja kepada Bank, tetapi juga untuk diri kita.
*PERPADUAN TIDAK PERNAH GAGALKAN UMAT MANUSIA!