Pada 13 November 2021, Isnin, NUBE telah menyerahkan dua memo yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Pemusnahan Kesatuan oleh pengurusan MBSB Bank dan supaya Kerajaan mengambil tindakan memulangkan simpanan B40 dan M40 yang telah dikeluarkan di bawah pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan, dan memastikan wang pekerja tidak dilaburkan dalam perniagaan yang terlibat melakukan tindakan pemusnahan kesatuan sekerja.
Delegasi NUBE yang diketuai oleh Presiden, Tan Eng Hong; Setiausaha Agung, J Solomon; Penolong Setiausaha Agung, A Karuna; Bendahari Agung, Chee Yeeh Ceeu dan Ahli Jawatankuasa Kerja, Khairul Nizam Kamarudin telah menyerahkan memo tersebut kepada pengurusan KWSP yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Strategi, En. Nur Hisham Hussein dan Ketua Hal Ehwal Kor, En Muhammad Abu Kadir dan Ketua Jabatan Undang-undang, Puan Zaidatul Mazwin Idrusi.
Pertemuan berlangsung di Ibu Pejabat KWSP di Kuala Lumpur. Ia bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir 12.15 tengah hari.
Pengurusan tertinggi MBSB Bank telah mengancam dan menganiaya pekerja daripada menyertai NUBE, terutamanya mereka yang memegang jawatan sebagai Duta Digital. Di samping itu, Bank telah mengenakan peraturan Kod Pakaian yang tidak mematuhi peruntukan Perjanjian Kolektif (CA) kepada semua pekerja dan cuba menafikan cuti tahunan minimum mereka dan memaksa mereka membayar sendiri rawatan perubatan yang sepatutnya ditanggung oleh Bank.
Tingkah laku buruk pengurusan Bank yang berteraskan perbankan Islam sepenuhnya yang menganiayai pekerja-pekerja Islam yang miskin tidak boleh diterima dan merupakan penyalahgunaan kuasa yang keji. Entiti perniagaan tidak seharusnya menggunakan wang pekerja dan sebagai balasan mengeksploitasi pekerja seperti yang dilakukan oleh MBSB Bank.
YBhg Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan anggota pasukan beliau telah mengambil maklum tentang kebimbangan kami dan akan memanggil pengurusan MBSB Bank untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh NUBE. Malah beliau juga percaya mengenai keperluan mempromosikan tingkah laku yang baik oleh perniagaan di mana KWSP telah membuat pelaburan.