KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE) AKAN MENGADAKAN PIKET KEBANGSAAN DI SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA BAGI MEMBANTAH KETIDAKADILAN, DISKRIMINASI DAN SIKAP MEMBELAKANGKAN SEMANGAT PERHUBUNGAN PERUSAHAAN HARMONI OLEH HSBC BANK MALAYSIA MELIBATKAN 300 PERTIKAIAN INDUSTRI
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan mengadakan piket kebangsaan di seluruh Semenanjung Malaysia mulai minggu ini sebagai tanda protes terhadap sikap tidak adil, tidak profesional dan diskriminasi HSBC Bank Malaysia Berhad, melibatkan 300 pertikaian industri.
NUBE terpaksa mengambil tindakan perhubungan perusahaan ini selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan/memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA). Pengurusan
HSBC Bank Malaysia enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh NUBE sejak tiga tahun kebelakangan ini, dan mencabuli hak dan kepentingan ahli-ahli NUBE kalangan B40 dan M40. Antara pertikaian industri yang telah dikenal pasti termasuklah:
i. HSBC Bank Malaysia enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967
ii. HSBC Bank Malaysia menghina pekerja-pekerja beragama Islam
iii. HSBC Bank Malaysia mendiskriminasi pekerja-pekerja bank terutama ahli-ahli NUBE
iv. HSBC Bank Malaysia melanggar peruntukan undang-undang buruh bagi mengawal fungsi dan peranan kesatuan sekerja, iaitu NUBE
v. HSBC Bank Malaysia didapati mendedahkan butiran peribadi pelanggan kepada pihak luar, sekali gus melanggar Seksyen 30 dan 40 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
vi. HSBC Bank Malaysia melanggar Seksyen 133(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013
vii. HSBC Bank Malaysia mengabaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pekerja dan NUBE
viii. Pengurusan HSBC Bank Malaysia menjemput pekerja untuk mesyuarat tetapi tidak membenarkan mereka memasuki premis mesyuarat
ix. Penyumberan luar pekerjaan kepada pihak ketiga dan memaksa ahli-ahli NUBE mengambil VSS, dan membuat permohonan baharu untuk diambil kerja di HSBC Bank
Malaysia
x. HSBC Bank Malaysia melayani pekerja-pekerja bank sebagai penjenayah
NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan berpiket ini memandangkan HSBC Bank Malaysia telah berulang kali enggan berbincang dengan NUBE, di pelbagai peringkat, di bawah peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam CA antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia, dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan pada masa yang sama, dengan sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang telah dibangkitkan.
Tindakan tidak adil dan tidak profesional HSBC Bank Malaysia itu, yang melibatkan 300 pertikaian industri semasa pandemik, adalah melampu dan mencabar kesabaran pekerjapekerja B40 dan M40. Sikap sedemikian juga tidak mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah bank bertaraf global.
Oleh itu, NUBE akan mengadakan tindakan berpiket, yang akan bermula di Johor Bahru, Johor pada 10 Mac 2022, iaitu esok, mulai pukul 1.30 tengah hari
hingga 2.30 petang. Piket pertama ini akan berlangsung di pekarangan HSBC Cawangan Jalan Bukit Timbalan, Johor Bharu.
J. SOLOMON
SETIAUSAHA AGUNG
KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)