Susulan kejayaan besar diperoleh oleh NUBE KLSP dan Kelatan & Terengganu, kini giliran NUBE PKP untuk mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Kapasiti Bagi Inspirasi Dalam Solidariti (CapIS) di Kalumpang Resort & Training Centre, Hulu Selangor anjuran oleh Ibu Pejabat NUBE.
Dalam program ini, yang berlangsung dari 16 hingga 18 Mac lalu, seramai 12 Ahli Jawatankuasa, Ahli Jawantankuasa Kerja serta IRC Aktif telah mengambil bahagian.
Program ini diadakan bagi meningkatkan prestasi kerja serta inspirasi melalui solidariti ke arah daya kepimpinan NUBE PKP dan menyediakan platform untuk ahli-ahli NUBE PKP yang berkualiti.
Di samping itu, Setiausaha Agung NUBE, Bro J Solomon yang bertindak sebagai tenaga pengajar telah banyak memberi penekanan tentang pentingnya memupuk perpaduan bersolidariti dan persaudaraan untuk memastikan NUBE sentiasa buat yang terbaik demi Kesatuan tercinta ini.
Beliau juga memberi peringatan bahawa program CapIS adalah cetusan idea NUBE dalam membangunkan dan memperkasakan kemahiran ahli-ahli NUBE bagi memperoleh inspirasi mental untuk bertindak secara solidariti berdasarkan minat, piawaian dan objektif NUBE. Turut serta dalam merangka aktiviti berkumpulan adalah Tenaga Pengajar dari Kalumpang Resort, En. Iskandar.
Banyak aktiviti secara berkumpulan telah berjalan dengan lancar dan sudah tentu telah memberi inspirasi ke arah semangat solidariti lebih tinggi.
Syabas diucapkan kepada semua peserta NUBE PKP yang telah memperlihatkan kesungguhan dan semangat jati diri yang tinggi sepanjang program ini. Komitmen mereka jelas terbukti dari segi mental dan fizikal untuk menempuh cabaran yang akan datang ini.
NUBE PKP juga ingin mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada Ibu Pejabat NUBE yang diterajui oleh Bro Solomon dalam menganjurkan program yang telah memberi banyak manfaat yang bernilai serta ilmu pengetahuan untuk semua peserta yang hadir. Hidup NUBE!