PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersedia untuk berbincang dengan kerajaan dan HSBC Bank Malaysia demi kepentingan terbaik pekerja-pekerja bank yang terlibat.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, ini kerana aduan NUBE berhubung isu berbangkit terhadap HSBC telah mendapat perhatian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mahu kerajaan memudahkan rundingan antara kedua-dua pihak tersebut.
Jelasnya, menurut ILO, kerajaan akan kekal di bawah perhatian terhadap sebarang tindakan pembuangan pekerja masa depan atau langkah-langkah lain oleh pengurusan HSBC yang menyasarkan ahli-ahli NUBE, bagi memastikan tindakan-tindakan itu tidak didorong oleh sikap anti kesatuan.
“Selain itu, NUBE juga dibolehkan menjalankan aktivitinya dalam persekitaran yang bebas daripada gangguan, ancaman atau usaha untuk memburukkan kesatuan dan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan (CFA), yang merupakan sebahagian daripada mekanisme dan fungsi penyeliaan ILO dalam Badan Pimpinan ILO, dan ia merupakan struktur tiga pihak (bilangan wakil Kerajaan, Pekerja dan Majikan yang sama).
Keputusan CFA telah diterima pakai oleh Badan Pimpinan ILO yang bermesyuarat di Geneva dua minggu lalu.
Ujar Solomon, NUBE mahu kerajaan menghormati dan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh CFA, selain melihat semula peranan utama mereka iaitu berkhidmat kepada rakyat dan tidak bersekongkol dengan majikan asing yang mengeksploitasi pekerja.
Solomon memberitahu, kerajaan Malaysia telah meratifikasi dan menerima pakai Konvensyen ILO No 98 Mengenai Hak Berorganisasi dan Perundingan Bersama.
“Bagaimanapun, ia gagal memberikan perlindungan yang mencukupi dalam undang-undang dan amalan, untuk mekanisme yang berkesan bagi memudahkan proses perundingan kolektif.
“Oleh itu, NUBE telah memfailkan kes terhadap kerajaan kerana tidak menghormati Konvensyen itu apabila gagal melindungi NUBE dan ahli-ahlinya dari gangguan, penganiayaan dan pembuangan pekerja oleh HSBC Bank Malaysia Berhad semasa proses perundingan kolektif yang merangkumi hak untuk piket dan tindakan perhubungan perusahaan.
“Tindakan HSBC Bank Malaysia, sebuah bank multinasional, telah membawa keburukan dan memalukan Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan tindakan dan cara ia berurusan dengan para pekerjanya. Ia menambah senarai eksploitasi buruh oleh syarikat-syarikat di negara ini.
“CFA telah mengambil perhatian tindakan anti kesatuan oleh HSBC Bank Malaysia, yang telah dengan sengaja menangguhkan rundingan dan menandatangani perjanjian kolektif dengan kesatuan itu selama bertahun-tahun,” katanya.
HSBC telah secara tidak adil menamatkan perkhidmatan dua ahli NUBE kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan berhubung pertikaian dengan bank.
Lebih 300 rungutan dan pertikaian industri telah wujud sejak tiga tahun yang lalu di HSBC Bank Malaysia akibat ketidakcekapan dan kegagalan Kementerian Sumber Manusia dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak rayuan telah dibuat oleh NUBE.
Sejak aduan dibuat bermula Disember 2020, HSBC Bank Malaysia telah terus mengabaikan segala bentuk rundingan yang tulen, dan telah menolak dan menangguhkan mesyuarat untuk menangani masalah ahli-ahli kesatuan. – UTUSAN