KUALA LUMPUR — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegur kerajaan Malaysia berhubung dakwaan penganiayaan terhadap pekerja oleh Bank HSBC sejak tiga tahun lalu.
Teguran itu dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu sebuah agensi khusus di bawah PBB.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon memberitahu, kenyataan teguran itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan (CFA).
Katanya, CFA merupakan sebahagian daripada mekanisme dan fungsi penyeliaan ILO dalam badan pimpinan agensi tersebut yang merupakan struktur tiga pihak melibatkan wakil kerajaan, pekerja dan majikan.
Tambahnya, keputusan CFA telah diterima pakai oleh Badan Pimpinan ILO yang bermesyuarat di Geneva dua minggu lalu.
“Kerajaan (Malaysia) akan kekal di bawah perhatian terhadap sebarang tindakan pembuangan pekerja pada masa depan atau langkah-langkah lain oleh pengurusan HSBC terhadap ahli-ahli NUBE.
“Ia bagi memastikan tindakan-tindakan itu tidak didorong oleh sikap antikesatuan.
“Selain itu, NUBE juga dibolehkan menjalankan aktivitinya di dalam persekitaran yang bebas dari gangguan, ancaman atau usaha untuk memburukkan kesatuan dan ahli-ahlinya,” kata ILO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh CFA.
Menurut Solomon, kerajaan Malaysia telah meratifikasi dan menerima pakai Konvensyen ILO No 98 Mengenai Hak Berorganisasi dan Perundingan Bersama.
Bagaimanapun beliau mendakwa, kerajaan gagal memberikan perlindungan yang mencukupi dalam undang-undang dan amalan untuk mekanisme yang berkesan bagi memudahkan proses perundingan kolektif.
“Oleh itu, NUBE telah memfailkan kes terhadap kerajaan kerana tidak menghormati konvensyen itu apabila gagal melindungi NUBE dan ahli-ahlinya daripada gangguan penganiayaan dan pembuangan pekerja oleh HSBC,” katanya.
Beliau menambah, tindakan HSBC Malaysia, sebuah bank multinasional telah membawa keburukan dan memalukan kerajaan di peringkat antarabangsa.
“Ia telah menambah senarai eksploitasi buruh oleh syarikat-syarikat di negara ini,” katanya.
Solomon memberitahu, CFA telah meminta kerajaan mengambil langkah yang perlu dan memudahkan rundingan antara NUBE dan Bank HSBC Malaysia.
Katanya, CFA juga telah meminta kerajaan untuk melibatkan diri dengan pihak-pihak terbabit bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak mengenai dakwaan penamatan dan penggantungan ahli-ahli NUBE.
“HSBC secara tidak adil menamatkan perkhidmatan dua ahli NUBE kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan berhubung pertikaian dengan bank,” ujarnya.
Sehubungan itu NUBE mahu kerajaan menghormati dan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan oleh CFA.
Solomon berkata, NUBE juga mengesa kerajaan menilai semula peranan utama mereka iaitu berkhidmat kepada rakyat dan tidak bersekongkol dengan majikan asing yang mengeksploitasi pekerja.
“NUBE bersedia untuk berbincang dan berunding dengan kerajaan, kementerian dan HSBC demi kepentingan terbaik pekerja-pekerja HSBC Bank Malaysia,” katanya.