PETALING JAYA: Dua pertubuhan pekerja membantah cadangan pemotongan gaji pekerja yang bekerja dari rumah (BDR).
Mengulas gesaan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, jurucakap Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, mereka tidak percaya bahawa syarikat mengalami pengurangan produktiviti atau keuntungan kerana membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah.
Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata, perniagaan akan mengarahkan pekerja kembali ke tempat kerja jika produktiviti atau keuntungan terjejas.
Tonton video di sini.
Baru-baru ini, Shamsuddin dipetik sebagai berkata, elaun perjalanan boleh dipotong selain pemotongan gaji antara 10% dan 12% bagi pekerja yang bekerja dari rumah.
Namun Solomon berkata, syarikat sebenarnya mendapat manfaat daripada pengurangan kos operasi apabila pekerja bekerja dari rumah.
Beliau berkata: “Pekerja bekerja dari rumah atas perbelanjaan mereka sendiri, bukan majikan. Oleh itu saya tidak nampak logiknya untuk memotong gaji pekerja.”
Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pemotongan gaji untuk mereka yang bekerja dari rumah adalah tidak munasabah kerana mereka membantu majikan menjimatkan kos utiliti, sewa ruang pejabat dan kos lain.
Bagaimanapun katanya, kebanyakan pekerja sudah tidak sabar untuk kembali ke tempat kerja masing-masing kerana kekurangan sumber di rumah.
Solomon dan Effendy berkata, MEF harus diingatkan bahawa semua majikan harus mula mengambil langkah untuk membayar kadar gaji yang sepatutnya kepada pekerja mereka.