MENTALITI KELAB ORANG KAYA BANK NEGARA MALAYSIA GAGAL MENYEDIAKAN FABRIK SOSIAL DI MALAYSIA
Peranan Bank Negara Malaysia (BNM) antara lain adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
Salah satu peranan fungsinya yang penting ialah menjadi jurubank dan penasihat kepada kerajaan sambil menyediakan penyampaian perkhidmatan yang cekap dengan melibatkan orang ramai.
BNM semakin gagal untuk merapatkan ketidaksamaan yang semakin meluas, apabila 80% rakyat Malaysia berada dalam kategori B40 dan M40 dan untuk mengawal kedua-dua peningkatan kos sara hidup dan susut nilai Ringgit yang berterusan.
Tidak sampai sejam perjalanan dari Ibu Pejabat BNM, kita mempunyai sebuah penempatan Orang Asli, yang menyaksikan komuniti itu tiada kemudahan bekalan air bersih asas walaupun sudah 65 tahun negara merdeka. Sebaliknya mereka ditinggalkan dengan air keruh setiap kali hujan.
Di negeri-negeri tertentu di Malaysia, pelajar sekolah menyeberangi sungai sendirian, menaiki rakit dan tali, mempertaruhkan nyawa dan anggota badan setiap hari untuk sampai ke sekolah mereka. Namun, pada masa yang sama, kita melihat taikun membina bangunan pencakar langit, untuk tidur dan makan di langit.
Banjir kilat muncul akibat pembangunan yang pesat, yang disediakan untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kaya dan ekspatriat untuk tinggal di pusat bandar manakala rakyat Malaysia yang lain pula dipindahkan ke pinggir bandar.
Baru-baru ini, BNM teruja mengumumkan kelulusan lesen perbankan digital baharu, yang dipohon oleh taikun kaya walaupun bank sedia ada yang mempunyai sumber yang mencukupi mampu menyediakan perkhidmatan sedemikian kepada pelanggan. Sebaliknya, pada penghujung 1990-an, BNM memberi tekanan ke atas banyak bank domestik agar bergabung dan untuk menjadi kukuh, untuk kekal berdaya saing dengan bank asing pada alaf baharu.
Pada masa dahlu kita berbangga apabila BNM mewajibkan bank membuka cawangan di kawasan-kawasan luar bandar jika mereka berhasrat untuk membuka cawangan di kawasan bandar. Bagaimanapun pada hari ini, BNM memberi kebenaran kepada bank asing untuk menutup cawangan luar bandar mereka sekali gus menghalang akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan perbankan sepenuhnya dan peluang pekerjaan dalam komuniti luar bandar.
NUBE telah membuat beberapa aduan mengenai salah laku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan HSBC Bank Malaysia. Tindakan mereka telah menjejaskan pekerja-pekerja bergaji rendah di HSBC sehingga kehilangan mata pencarian masing-masing. Malangnya, BNM gagal menyiasat aduan salah laku yang dibuat.
Pengurusan tertinggi HSBC Bank, bukannya mengekalkan keyakinan orang ramai sebagai penjaga dana awam, telah bertindak dengan tidak jujur terhadap pekerja-pekerja mereka sendiri. Mereka melanggar undang-undang negara dan berbohong apabila diminta untuk menangani isu pekerja.
Piawaian etika yang tinggi dalam kalangan jurubank merupakan aspek penting untuk melindungi dan meningkatkan imej bank dan memastikan kelangsungan perniagaan jangka panjang mereka. BNM nampaknya telah mengetepikan piawaian etika tinggi yang diharapkan daripada CEO dan pengurusan tertinggi, sebaliknya ia hanya mengenakan perkara ini ke atas pekerja-pekerja miskin.
Jelas sekali, BNM lebih cenderung untuk melindungi komuniti perniagaan, orang kaya, orang berpengaruh dan berkuasa sedangkan perlindungan asas untuk rakyat tempatan, orang miskin dan mereka yang bekerja telah hilang sama sekali dari radar BNM.
Semua orang masih ingat Gabenor Malaysia BNM yang pertama, Tun Ismail Mohd Ali sebagai contoh sifat amanah dan integriti, yang membina BNM dan membentuk negara. Ramai mengenali Tun Ismail yang pernah mengakui beliau mempunyai kesan yang luas, bukan sahaja dari segi landskap ekonomi dan kewangan negara, tetapi juga dalam kehidupan peribadi dan profesional rakyat Malaysia.
Pada tahun 2018, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor BNM dalam ucapan alu-aluannya pada majlis peringatan Seratus Tahun Kelahiran Tun Ismail berkata, “kepercayaan saya yang paling teguh mengenai cara terbaik untuk kita menghormati Allahyarham Gabenor Ismail Ali adalah meneruskan visi ini – visi bank pusat yang bebas, cekap dan dihormati.”
Malangnya, tindak-tanduk BNM pada hari ini adalah sebaliknya dan sudah pasti Tun Ismail akan kecewa jika beliau mengetahui tentang pendekatan para penggantinya.
BNM lupa bahawa juzuk terpenting dalam sektor perbankan, di atas segalanya ialah rakyat, seluruh penduduk, dan bukan hanya golongan kaya dan berkuasa. Berbanding memihak kepada orang kaya dan berkuasa, dan dengan itu menindas orang miskin, BNM mesti mengingatkan dirinya sendiri, dan orang kaya dan berkuasa tentang kewajipan mereka kepada orang miskin.
NUBE ingin mengingatkan BNM bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak ke atas sumber-sumber di bumi, untuk mencari rezeki, untuk menjaga dan melindungi keluarga mereka. Apabila kita mengehadkan peluang sesetengah orang dalam masyarakat kita, kita sebenarnya merampas hak di bawah perlembagaan dan asasi manusia mereka, termasuk hak mereka untuk mencari rezeki.
Dalam kes terbaru, ketidakcekapan BNM nampak lebih ketara apabila usaha penyelidik NUBE untuk mendapatkan kedua-dua buku Tun Ismail dan BNM berakhir dengan begitu sukar, sejak awal minggu ini, apabila usaha dilakukan melalui saluran komunikasi telefon dan kehadiran secara fizikal di ibu pejabat BNM. Panggilan telefon berulang kali tidak berjaya dan apabila hadir sendiri di ibu pejabat BNM, penyelidik telah diarahkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu melalui laman web muzium dan galeri yang tidak boleh diakses sama sekali sehingga kini. Kenapa susah sangat nak dapatkan bahan bacaan dan penerbitan BNM? Ke mana perginya kecekapan BNM yang pernah disegani satu ketika dahulu?
NUBE menggesa Tan Sri Nor Shamsiah menghentikan Mentaliti Kelab Orang Kaya dan bertanggungjawab menegakkan kepercayaannya dalam menghormati visi Gabenor pertama, Allahyarham Tun Ismail, dan tidak menjadikan Malaysia sebagai Sri Lanka yang berhadapan dengan kemelut politik dan ekonomi.
J SOLOMON
SETIAUSAHA AGUNG
KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)
13 MEI 2022