PIKET KEBANGSAAN FASA KETIGA: JOM DATANG BERAMAI-RAMAI KE IPOH, PERAK PADA 26 MEI 2022
Saudara-saudari yang dihormati,
NUBE akan meneruskan piket kebangsaan melawan penindasan, diskriminasi dan ketidakadilan HSBC Bank Malaysia. Kali ini kita akan berhimpun di Ipoh, Perak.
Piket akan berlangsung di pekarangan HSBC (M) Berhad Cawangan Ipoh, di No 138, Jalan Sultan Yusof, dari pukul 5 petang hingga 9 malam.
Perjuangan kita belum berakhir. Kita perlu bertindak tegas dan berani untuk terus menyuarakan solidariti demi ahli-ahli NUBE di HSBC Bank Malaysia terhadap segala bentuk penganiayaan dan penindasan yang dilakukan oleh pihak bank ke atas pekerja kumpulan B40 dan M40.
Nampaknya, pengurusan HSBC Bank Malaysia masih enggan menyelesaikan 300 aduan industri yang telah difailkan. Kita telah menyerahkan kesemua 300 aduan kepada MCBA dengan harapan HSBC Bank Malaysia akan tampil untuk memelihara dialog sosial demi persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni. Tetapi HSBC tidak menunjukkan sikap proaktif.
Justeru itu, saya menjemput PAHLAWAN NUBE untuk datang beramai-ramai bagi menjayakan piket kali ketiga ini.
Di Johor Bahru, semasa piket fasa pertama, ahli-ahli NUBE telah membuktikan bahawa bahasa terpenting dalam kalangan pekerja ialah SOLIDARITI, dalam menuntut penyelesaian daripada HSBC Bank. Usaha itu dimantapkan lagi dengan kehadiran jumlah yang lebih ramai semasa kita berpiket di George Town, Pulau Pinang.
Hanya dengan SOLIDARITI, kita boleh atasi eksploitasi ke atas Ahli-ahli NUBE oleh KELAB ORANG KAYA yang terdiri daripada HSBC Bank Malaysia, Bank Negara Malaysia, Menteri Kewangan, dan Menteri Sumber Manusia.
Kita akan terus bersama ahli NUBE di HSBC Bank Malaysia menentang segala bentuk rasuah, manipulasi, eksploitasi yang telah menjangkiti, mencemarkan dan merosakkan KELAB ORANG KAYA.
Ayuh bersama-sama menzahirkan semangat SOLIDARITI... Jumpa di Ipoh pada 26 Mei 2022!!!
SATU UNTUK SEMUA SEMUA UNTUK SATU!
SOLIDARITI SELAMANYA!
J SOLOMON
SETIAUSAHA AGUNG
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA BANK KEBANGSAAN (NUBE)