KUALA TERENGGANU, 22 Jun: Piket anjuran NUBE di hadapan MBSB Bank Berhad di Jalan Sultan Ismail di sini turut menarik penyertaan ramai ahli NUBE dari Kelantan dan Terengganu, yang turun untuk menzahirkan sokongan padu membela ahli-ahli NUBE.
Dengan membawa pelbagai sepanduk mengecam tindak-tanduk pengurusan MBSB, ahli-ahli mahu bank itu menyelesaikan segala isu yang difailkan dan tampil mengadakan perbincangan bagi mewujudkan perhubungan perusahaan yang harmoni.
NUBE tiada pilihan kecuali mengadakan piket ini memandangkan pengurusan tertinggi MBSB dengan sengaja enggan menyelesaikan keluhan-keluhan pekerja yang dibangkitkan dan mengamalkan sikap tidak bertamadun terhadap pekerja-pekerja B40.
Sehubungan dengan itu, selain menuntut MBSB kembali ke meja perundingan untuk dialog sosial bagi menyelesaikan segala aduan industri, NUBE juga mahu Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selaku pemegang saham utama MBSB, agar memecat kedua-dua pemangku CEO, Datuk Azam M. Taib dan Ketua Pegawai Modal Insan, Farid Basir demi menjaga kepentingan pekerja-pekerja MBSB dan pencarum KWSP.
Piket NUBE Cawangan Kelantan & Terengganu diketuai oleh Pengerusinya, Sdr Mohd Azizul Fouzi. Turut hadir Setiausaha Kehormat Cawangan, Sdr Wan Mohd Affendi Husin merangkap Naib Presiden NUBE.